Kembar bercantum 
di kepala dipisah - Utusan Malaysia

Kembar bercantum 
di kepala dipisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 16 Julai – Sepasang kembar siam pe­rempuan Pakistan yang bercantum di kepala berjaya dipisahkan menerusi beberapa siri pembedahan yang mengambil masa selama 55 jam di sebuah hospital di London.

Lapor Daily Mail, kanak-kanak berusia dua tahun itu, Safa dan Marwa Ullah yang juga dikenali sebagai ‘kembar kraniopagus’ telah menjalani tiga pembedahan utama bagi memisahkan kepala mereka di Hospital Great Ormond Street.

Lebih 100 kakitangan hospital itu terlibat dalam prosedur yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar bedah berjaya memisahkan otak kanak-kanak itu yang berkongsi tengkorak kepala sama, membetulkan semula kedudukan otak sebelum membedah bahagian kepala mereka.

Doktor kemudiannya membentuk semula tengkorak mereka yang berkongsi serpihan tulang antara kembar siam perempuan itu bagi meregangkannya di bahagian atas kepala baharu mereka.

Kanak-kanak perempuan dari utara Pakistan itu menjalani pembedahan terakhir mereka pada Februari lalu dan kini dalam proses pemulihan di London selain merancang untuk pulang ke negara mereka pada tahun depan.

Kos pembedahan itu dibiayai oleh ahli perniagaan Pakistan, Murtaza Lakhani.

Dalam pada itu, ibu kembar siam itu, Zainab Bibi, 34, berkata, mereka terhutang budi kepada hospital dan kakitangannya selain merakamkan syukur kepada Allah SWT kerana dia kini dapat memegang anak-anaknya secara berasingan.

Kanak-kanak kembar itu dibenarkan keluar dari hospital pada 1 Julai lalu dan berada dalam proses pemulihan di London bersama ibunya, datuk, Mohammad Sadat, 57, dan bapa saudara mereka.

Sementara itu, pasukan perubatan Hospital Great Ormond Street yang diketuai oleh pakar bedah neurologi, Noor ul Owase Jeelani dan pakar bedah plastik, Professor David Dunaway menyi­fatkan kes Safa dan Marwa Ullah adalah kes paling rumit buat mereka. – AGENSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini