Keluarga halang Bale ke China - Utusan Malaysia

Keluarga halang Bale ke China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID – Bintang Real Madrid, Gareth Bale terpaksa membuat ‘pusingan U’ kekal bersama pasukan itu selepas ahli keluarganya dilaporkan tidak bersetuju penyerang berusia 30 tahun itu berhijrah menyertai kelab Liga Super China, Jiangsu Suning.

Menurut laporan BBC, Real secara tiba-tiba turut mengubah fikiran apabila bersetuju memba­talkan urusan perpindahan tersebut.

Dalam masa sama, laporan akhbar Sepanyol, Marca pula menyifatkan bekas pemain Tottenham Hotspur itu dinasihatkan mencari pasukan lain di Eropah terlebih dahulu jika mahu berhijrah sebelum bersetuju menerima tawaran daripada Jiangsu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bale mempunyai masa sehingga 31 Julai (esok) untuk memberikan jawapan kepada Jiangsu sama ada bersetuju atau tidak menyertai mereka.

“Ia ekoran keputusan ejennya, Jonathan Barnett sebelum ini sudah mencapai persetujuan membawa masuk Bale ke China pada Jumaat lalu,” menurut laporan daripada Marca.

Sebelum ini, bintang antarabangsa Wales itu dikatakan hampir pasti menyertai Jiangsu menerusi kontrak selama tiga tahun.

Perpindahan itu bakal menyaksikan Bale menjadi pemain bola sepak yang menerima gaji paling tinggi di dunia dengan tawaran gaji mingguan berjumlah AS$1.1 juta (RM4.54 juta).

Masa depan Bale bersama Real sebelum ini dilihat samar selepas ketua jurulatih pasukan itu, Zinedine Zidane secara terbuka menegaskan pemain berkenaan tidak berada dalam perancangannya menghadapi saingan musim baharu nanti. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini