MUSIM haji 2019 kini bermula. Khamis lalu, penerbangan sulung membawa ribuan jemaah seluruh dunia termasuk dari Malaysia berlepas menuju ke bumi Arab Saudi.
‘Kembara’ mereka ke tanah suci sebagai dhuyufurrahman atau tetamu Allah ‘menggalas’ misi mengejar haji mabrur. Baitullah di tanah suci Mekah, manifestasi pengabdian kepada Allah SWT.
Tahun ini kerajaan Arab Saudi sekali lagi meneruskan pelaksanaan inisiatif Makkah Route selepas diperkenalkan secara berkesan untuk jemaah haji dari Malaysia dan Indonesia, tahun lalu.
Inisiatif itu sebenarnya dimulakan pada 2017 untuk sebilangan kecil jemaah Malaysia yang kemudiannya dilaksanakan kepada semua jemaah setahun kemudian, bersama-sama jemaah Indonesia.
Makkah Route merupakan inisiatif yang dilaksanakan menerusi Program Transformasi Kebangsaan (NTP) 2020 Arab Saudi, yang juga sebahagian daripada Wawasan Saudi 2030 bagi meningkatkan perkhidmatan dan memudahkan prosedur untuk jemaah.
Musim haji kali ini, Makkah Route diperluaskan kepada negara-negara seperti Pakistan, Bangladesh dan Tunisia.
Menurut kerajaan Arab Saudi, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 225,000 jemaah haji di negara terlibat.
Terdahulu, sesuatu yang menarik di bumi Arab Saudi, seperti dipetik melalui portal Saudi Gazette, Kementerian Haji dan Umrah sedang meneliti perancangan akhir bagi memperkenalkan program kembara ke Madinah menggunakan laluan hijrah Nabi Muhammad SAW.
Kembara menggunakan unta itu termasuk dalam pembangunan 27 isi utama Hijra Road.
Di bawah program berkenaan, pengembara dapat melalui laluan yang sama digunakan Rasulullah SAW ketika hijrah dari kota Mekah.
Perjalanan bermula dari Ghar Thor, gua di Bukit Thur di Mekah di mana Rasulullah dan sahabat baginda, Saidina Abu Bakar berselindung daripada musuh sebelum berakhir di Thaniyat al-Wada bagi melengkapkan kembara ke Madinah.
Kementerian menjelaskan, selain unta, pelbagai alternatif lain juga dipertimbangkan termasuk menggunakan motosikal berkuasa tinggi atau pacuan empat roda.
Hijra Road dikatakan sejauh 380 kilometer.
Perancangan itu mula diuar-uarkan sejak Februari lalu dan sehingga kini masih belum ‘kedengaran’ perancangannya secara teliti, tetapi dari sudut lain, Hijra Road amat mengujakan.
Berbalik kepada musim haji kali ini, seperti biasa, di pihak berkuasa Arab Saudi, awal-awal lagi iaitu pada 28 Jun lalu, sudah menguatkuasakan larangan kemasukan kenderaan ke Mekah, bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Hanya yang memiliki permit kemasukan khas sahaja dibenarkan membawa kenderaan memasuki Mekah.
Presiden Jawatankuasa Kenderaan Am (GSC), Abdulrahman al-Harbi memberitahu Arab News, keputusan itu penting bagi melicinkan perjalanan jemaah di tanah suci selain membolehkan bas-bas membawa jemaah dapat bergerak mengikut jadual yang ditetapkan.










