Kehamilan, hadiah istimewa Amyra Rosli - Utusan Malaysia

Kehamilan, hadiah istimewa Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehidupan keluarga kecil pasangan romantis Amyra Rosli dan Amar Baharin kini semakin meriah dengan debaran menanti kehadiran insan baharu.

Pasangan itu yang telah mempunyai seorang anak lelaki, Aqeef Anaqi yang kini berusia setahun lapan bulan, bakal menambah bilangan ahli keluarga apabila Amyra mengesahkan dirinya hamil dua bulan.

Berita gembira itu telah dikongsikan suaminya, Amar menerusi akaun Instagram berserta ucapan syukur bersempena sambutan ulang tahun ke-34 pelakon itu pada 1 Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amyra yang popular dengan drama rantaian Nur dan Nur 2 itu berkongsi mengenai berita kehamilan keduanya bersama Kosmo!

KOSMO!: Tahniah. Bagaimanakan keadaan kesihatan Amyra setakat ini?

AMYRA ROSLI: Alhamdulillah, saya baik sahaja. Hamil kali kedua saya lebih kuat berbanding kehamilan yang pertama. Apa-apapun saya bersyukur.

Seperti ibu yang hamil di luar sana, saya juga mengalami simptom biasa fasa awal kehamilan seperti loya, tetapi masih boleh dikawal.

Adakah kehamilan anda adalah kejutan untuk suami sempena ulang tahunnya yang ke-34?

Tidak. Saya telah memberitahu Amar dan keluarga bahawa saya hamil pada awal kehamilan ini. Saya tidak sangka Amar menyimpan keputusan alat kehamilan itu sehingga hari ini.

Saya pada mulanya enggan berkongsi berita ini. Bukan mahu berahsia, tetapi khuatir keadaan kandungan belum cukup kuat dan tidak mahu terlalu teruja.

Melihat suami yang gembira dan menganggap kehamilan saya sebagai hadiah, kami bersetuju untuk berkongsi berita ini kepada umum.

Adakah anda melakukan perancangan keluarga?

Sebenarnya, kami ingin menanti sehingga Aqeef Anaqi berusia dua tahun kerana tidak mahu dia kekurangan kasih sayang. Pada usia sekarang Anaqi masih manja dengan saya dan Amar.

Walaupun begitu, saya bersyukur, Tuhan berikan rezeki lebih awal dan Amar juga telah lama bersedia untuk menambah bilangan keluarga.

Adakah anda akan memperlahankan kerjaya sepanjang kehamilan?

Amar tidak menghalang saya untuk terus bekerja. Malah, untuk kehamilan kali ini fizikal saya lebih kuat kerana telah mempunyai pengalaman.

Sepatutnya saya akan kembali ke set penggambaran dalam masa terdekat, namun perkara tersebut perlu dibincangkan semula bersama pihak produksi.

Saya faham sekiranya pihak produksi sudah tidak mahu mengambil saya sebagai pelakon kerana enggan menanggung sebarang risiko. Jika ada rezeki saya teruskan, jika tidak, saya boleh fokus pada perniagaan.

Bagaimanakah perasaan anda apabila hamil kali kedua?

Satu perkara yang pelik adalah ketika hamil kali pertama, saya tidak malu untuk berkongsi mengenai berita kehamilan. Namun, sebaliknya untuk kehamilan yang kedua kerana saya berasa malu.Saya sendiri tidak faham dengan perasaan yang dialami.

Apa paling penting adalah saya perlu membuat persediaan untuk membesarkan Anaqi dan anak yang bakal dilahirkan ini.

Menghadapi karenah Anaqi dan anak baharu kelak, rasanya saya memerlukan lebih banyak pertolongan.

Adakah anda mengimpikan kehadiran cahaya mata perempuan?

Sebaik disahkan hamil, saya sudah bersyukur. Oleh sebab itu, saya tidak kisah mengenai jantina bayi asalkan dilahirkan dalam keadaan sihat dan selamat.

Saya berharap semua di luar sana mendoakan kesihatan saya untuk kehamilan kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini