Kedah tak rela tercicir mata lagi - Utusan Malaysia

Kedah tak rela tercicir mata lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Berbaki tiga lagi perlawanan, Lang Merah kini tidak lagi mahu kehilangan sebarang mata yang berharga bagi menamatkan aksi kempen Liga Super di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim.

Mengakui sedikit kecewa ekoran terlepas dua mata dalam perlawanan bertemu PKNP semalam, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mahukan anak-anak buahnya memanfaatkan peluang dengan menghasilkan lebih banyak jaringan selepas ini.

“Dalam perlawanan ini, Kedah menguasai bola tetapi saya fikir kita perlu belajar yang kedudukan 1-0 tidak selamat dan permainan adalah 90 minit, jika diberi peluang lawan akan mencipta sesuatu dan mereka (PKNP) berjaya melakukannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pun begitu, keseluruhan persembahan pada malam ini adalah baik, banyak perkara mereka berjaya tingkatkan seperti hantaran yang baik, kawalan bola dan kesinambungan antara pertahanan dan pemain tengah,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.

Atas kertas, persaingan tempat kedua Liga Super kini masih terbuka antara Kedah, Pahang dan Selangor yang perlu menang kesemua perlawanan, namun Skuad Tok Gajah mempunyai kelebihan kerana kekurangan satu perlawanan.

Aidil Sharin mengakui, pertemuan menentang Terengganu, Felda United dan Perak selepas ini bukan perlawanan yang mudah jika mereka berhasrat untuk kekal di tangga teratas.

“Persaingan kini sangat getir, kami mahu mengumpul sebanyak mana mata yang boleh dan perlu bekerja keras untuk perkara itu kerana mana-mana pasukan yang terlepas peluang akan menyebabkan mereka turun carta,” ujarnya.

Sementara itu, PKNP yang bergelut di kelompok terbawah liga turun ke Stadium Darul Aman dengan misi yang berbeza bagi mengelak tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan.

Ketua Jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, satu mata yang berjaya dicuri dalam perlawanan itu amat berharga kerana berjaya melonjakkan PKNP ke tangga ke-10 dengan 15 mata setakat ini.

“Memang kita tahu sukar untuk bawa pulang mata penuh dengan prestasi dan kekuatan Kedah di tempat sendiri yang belum pernah tewas, tetapi kami tak berputus asa.

“Walaupun pada separuh masa pertama kita gugup kerana tekanan tinggi kepada pemain bagi mengelak kekalahan yang akan menidakkan peluang untuk PKNP kekal dalam Liga Super, namun sekurang-kurangnya satu mata ini amat penting,” katanya.

Kata Abu Bakar, perubahan sedikit formasi untuk bertahan dalam tujuh perlawanan terakhir sebelum ini membuahkan hasil kerana PKNP berjaya meraih tiga mata daripada empat perlawanan yang diperlukan pada penghujung liga. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini