LIVERPOOL – Naby Keita kini terpaksa bersaing dengan masa untuk persediaan menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris.
Pemain tengah itu pulang ke Liverpool selepas impiannya untuk terus beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika diganggu dengan masalah kecederaan. Keita ditimpa kecederaan paha dan pangkal paha sewaktu beraksi bersama pasukan negaranya, Guinea.
Pasukan perubatan Reds akan melakukan pemeriksaan penuh ke atas pemain itu, hari ini, sebaik dia melaporkan diri di fasiliti latihan kelab, tetapi dikhabarkan berita yang bakal diterima tidak berpihak kepada Keita selepas pemeriksaan awal bersama pegawai fisio kelab di pangkalan latihan Guinea di Mesir.
Mesej bercampur baur diterima kem Guinea, semalam, apabila jurucakap pasukan pada awalnya memaklumkan masalah yang dihadapi Keita tidak serius, tetapi kemudian mengesahkan kecederaan adductor yang menyebabkan pemain itu diketepikan daripada final Liga Juara-Juara semakin teruk.
“Dia mendapat kecederaan tersebut sewaktu beraksi pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan Keita telah mula berlatih serta bermain, tetapi bukan pada tahap 100 peratus. Kami perlu memikirkan selepas Piala Negara-Negara Afrika,” kata pegawai media Guinea, Mamadou Camara.
Kehadiran Keita pada pertandingan itu diselubungi kontroversi sejak awal lagi, apabila jurulatih skuad kebangsaan negaranya, Paul Put berkata, pemain itu cukup cergas untuk diturunkan, meskipun pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, dia tidak boleh bermain sehingga Julai.
Gesaan Put agar pemain itu dilepaskan, dan Reds pula keberatan berbuat demikian. Namun, Keita sememangnya tidak cukup cergas untuk beraksi bersama pasukan negaranya pada perlawanan pertama di Mesir. Keita hanya bermain selama 30 minit sebagai pemain gantian.
Dalam perlawanan kedua, Keita tidak langsung disenaraikan dalam kesebelasan utama, dan dia kemudiannya kelihatan terhincut-hincut keluar padang sewaktu berlaga dengan pemain Nigeria selepas minit ke-70. Kelihatannya masalah adductor dan kecederaan paha yang dialami Kieta semakin memburuk.
Bagaimanapun, Guinea difahamkan, mereka menjangkakan Keita akan kembali ke Kaherah selepas pemeriksaan di Merseyside, di mana perlawanan peringkat 16 terbaik bakal berlangsung Sabtu ini. Jika berita kecederaan Keita disahkan, ini bermakna pemain itu akan kekal di United Kingdom bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sekiranya masalah adductor masih membelenggu Keita, maka dia perlu diketepikan selama beberapa minggu dan sekali gus peluangnya untuk cergas sebelum musim bermula nampaknya semakin tipis.
Klopp juga akan memastikan pemainnya menjalani ujian penuh pada pra-musim, sebelum membenarkan dia bermain. Jika masalah tersebut semakin serius, Keita mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh yang lebih lama iaitu sehingga penghujung Ogos.
Ia jelas memberi tamparan hebat kepada pemain itu yang amat berharap dapat memberi impak besar di Anfield pada musim baru nanti, selepas tahun pertamanya di Liverpool diganggu dengan kecederaan dan kemerosotan prestasi. – AGENSI











