KDN positif permohonan FAM - Utusan Malaysia

KDN positif permohonan FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan gambaran positif terhadap perkembangan proses permohonan dua pemain naturalisasi dan dua pemain kacukan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal bulan ini.

Terdahulu, badan induk bola sepak negara menghantar dokumen kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjadikan pemain Kosovo, Liridon Krasniqi, 27, dan pemain Brazil, Guilherme De Paula, 32, sebagai pemain naturalisasi agar boleh beraksi bersama Harimau Malaya.

Sementara itu, Kobe Chong, 18, yang mempu­nyai darah campuran Ma­laysia-Jamaica dan pernah beraksi di England serta Armin Maier Rafi, 21, berasal dari Jerman yang bermain untuk pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) memiliki darah campuran Malaysia-Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, dua nama pemain kacukan itu kini berada dalam perhatian KDN meskipun FAM enggan mendedahkan identiti individu tersebut kepada umum.

Muhyiddin memberitahu, pihaknya memberikan perhatian yang baik terhadap permohonan berkenaan sebelum mempertimbangkan untuk membuat keputusan akhir.

“Baru-baru ini, FAM mengemukakan empat nama pemain bukan warganegara bersandarkan kepada syarat-syarat yang digariskan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) untuk saya pertimbangkan mereka ini menjadi warganegara Malaysia.

“Ia mengikut syarat-syarat Perlembagaan Malaysia Fasal 15A yang memberi kuasa kepada menteri atas kes-kes istimewa untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Perkara itu dikemukakan FAM beberapa minggu lepas dan saya minta pegawai untuk meneliti sebelum saya mempertimbangkan permohonan berkenaan. Insya-Allah, kita akan berikan perhatian terhadap permohonan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan PDRM FA di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur kelmarin.

Sementara itu, Liridon menerusi laman Instagram Story miliknya semalam memuat naik dokumen yang menyaksikan dia melengkapkan tempoh lima tahun menetap di negara ini de­ngan keterangan gambar iaitu: “5 years completed in MY. Now waiting for the final” (5 tahun sudah berada di MY – Malaysia. Hanya menunggu keputusan akhir).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini