KUALA LUMPUR 3 Julai – Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menyeru pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya menangguhkan pindaan Rang Undang-Undang bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun sehingga kata sepakat dicapai bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Pengerusinya, Eric Choo Chung Tiong berkata, KBS tidak perlu tergesa-gesa mengikut jejak langkah negara Barat tetapi mengambil kira faktor ekosistem belia di negara ini, termasuk seperti sistem pendidikan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Beliau berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh kepada kepemimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) serta bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan RUU had umur itu dapat memanfaatkan pembangunan belia di negara ini secara optimum.
“Kita mohon perhatian supaya pihak KBS bertindak secara matang dalam hal ehwal belia di negara ini, malah, kita juga rasa terkejut apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri membentangkan RUU tersebut ketika Presiden MBM, Jufitri Joha menghadiri persidangan antarabangsa di Moscow.
“Tindakan beliau (Syed Saddiq) disifatkan seperti tidak mengahargai pergerakan dan perjuangan belia dan MBM sejak ditubuhkan sebelum merdeka lagi. Perlu diingatkan bahawa MBM telah diwujudkan lebih awal daripada pembentukan KBS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Saddiq semalam menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang menyokong kempen Undi 18 dan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.
Beliau berkata, usul pindaan Perlembagaan Persekutuan adalah satu usul yang bersifat bipartisan dan mengangkat semangat permuafakatan antara semua ahli parlimen Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Eric berkata, dalam konteks rakan strategik antara dua pihak selama ini, secara normanya difahamkan KBS menguruskan hal ehwal belia daripada sudut pentadbiran kerajaan dan MBM menjalankan peranan bagi pihak NGO.
“KBS perlu diingatkan bahawa kerajaan atau sistem pentadbiran wujud kerana adanya sokongan rakyat terutamanya golongan belia pada hari ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











