IPOH 3 Julai – Menelefon tuan rumah dan terus membayar deposit untuk memasuki rumah inap desa atau homestay.
Setelah diserahkan kunci dan dijanjikan untuk membuat bayaran kemudian, tidak sampai beberapa hari, barang-barang di dalam rumah tersebut dicuri.
Malahan, ada yang menggunakan dokumen palsu seperti lesen memandu orang lain bagi tujuan menyewa inap desa tersebut.
Itu modus operandi berbeza dilakukan oleh geng homestay yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan curi dalam bangunan sekitar tahun ini sehingga polis menerima 19 laporan di sekitar Ampang Baru, Kampung Rapat dan Tambun.
Hasil risikan dan maklumat orang ramai, empat lelaki berjaya ditangkap dalam tiga serbuan berasingan pada 24 dan 27 Jun lalu di sekitar Taman Cempaka di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 42 tahun itu didapati tidak bekerja.
Beliau berkata, tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau dalam beberapa kes termasuk dadah dan curi, malahan kesemuanya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Saya menyeru kepada pemilik inap desa supaya mendapatkan dokumen yang sah daripada penyewa dan jangan terburu-buru untuk menyewakan premis.
“Kadang-kadang, mereka tergesa-gesa hendak mendapatkan bayaran dan mereka tidak peduli siapa yang menyewa,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Ampang Baru di sini hari ini.
Ekoran penangkapan suspek tersebut, polis berjaya merampas 71 barang yang dipercayai dicuri untuk dijual.
Rata-ratanya terdiri daripada peralatan elektrik seperti peti sejuk, televisyen, dapur elektrik, kipas siling, pembesar suara, kamera digital termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira dengan anggaran keseluruhan bernilai RM40,000.
Sehubungan itu, Mohd Ali berkata, kesemua suspek telah ditahan reman bermula 28 Jun lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











