Kata-kata DAP adalah perintah, kenyataan DAP adalah undang-undang? - Utusan Malaysia

Kata-kata DAP adalah perintah, kenyataan DAP adalah undang-undang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Supremo DAP yang juga merupakan bapa kepada Lim Guan Eng dan Senator Lim Hui Ying yang menyarankan agar Timbalan Pendakwaraya (DPP) merujuk kepada manifesto Pakatan Harapan selain mencari arahan terbaharu Peguam Negara sekiranya mempunyai pertanyaan berhubung kes yang berlaku sebelum PRU-14, menunjukkan dengan jelas campurtangan secara langsung DAP dalam perundangan negara (Sinar Harian, 13 Julai 2019).

Dengan kata lain, DAP menerusi Lim Kit Siang cuba menunjukkan bahawa mereka adalah undang-undang di negara ini. DAP mahu membuktikan kepada ahli-ahli serta penyokong mereka, bahawa di dalam negara ini, DAP yang paling berkuasa. Kata-kata DAP adalah perintah dan sebarang kenyataan DAP adalah undang-undang.

Selama berdekad-dekad, DAP dan Lim Kit Siang menuduh Kerajaan Barisan Nasional campurtangan dalam bidang kehakiman dan sistem mahkamah negara, menyebabkan undang-undang negara ini telah tercemar dan berat sebelah. Apa-apa sahaja tindakan undang-undang terhadap pemimpin DAP atau rakan sekutu DAP, akan dikatakan sebagai konspirasi politik, fitnah dan cubaan melemahkan DAP serta menghalang keadilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Misteri di mana Lim Kit Siang dilahirkan, atau semenjak bila dia menjadi rakyat Malaysia tidak dapat dihilangkan dengan cubaan menunjukkan kejahilan seperti ini. Mustahil selaku orang yang paling banyak terlibat dalam menimbulkan masalah terutama membabitkan perpaduan dan keharmonian dalam negara, Lim Kit Siang tidak pernah belajar cara hidup bernegara.

Amat mustahil juga, Lim Kit Siang dan DAP tidak sedar bahawa negara ini ada Rajanya.

Negara ini berdiri di atas kedaulatan undang-undang. Undang-undang merupakan teras perlembagaan negara. Negara ini tidak pernah didirikan di atas mana-mana manifesto parti-parti politik termasuklah manifesto UMNO-Perikatan, apatah lagi KMM, PKKM, API, AWAS, Hizbul Muslimin, PAS, PUTERA, BATAS, MATA dan sebagainya. Jauh sekali daripada mengikut manifesto Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan 25 tahun lebih awal dari tarikh rasmi kemerdekaan negara.

Pendakwaraya adalah salah satu komponen yang menjadi tiang dalam memastikan keadilan undang-undang dilaksanakan. Mereka wajib bekerja di atas dan selaras dengan peruntukan undang-undang. Mereka sepatutnya bebas daripada cengkaman politik, pengaruh ahli-ahli politik, apatah lagi di bawah piagam, ceramah politik apatah lagi penipuan manifesto seperti yang dibuat oleh Pakatan Harapan.

Cadangan Lim Kit Siang agar DPP mengikut dan akur dengan manifesto Pakatan Harapan merupakan lambang kejahilan, kebodohan serta keangkuhan serta kebiadapan kepada keluhuran undang-undang. Keluhuran undang-undang merupakan salah satu daripada perkara dalam Rukun Negara yang dijunjung oleh setiap yang bergelar rakyat Malaysia.

Tidak sepatutnya kegagalan dan kecuaian Pakatan Harapan dalam menunaikan janji-janji mereka sendiri, dibebankan kepada sistem keadilan dan perundangan negara. Amat menjijikkan bilamana Supremo DAP itu cuba membuatkan penjawat awam bersekongkol untuk melindungi penipuan dan pemerdayaan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan khususnya DAP terhadap rakyat Malaysia dalam usaha DAP dan Lim Kit Siang untuk terus berkuasa di negara ini.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, Selasa lalu juga pihaknya yang diwakili oleh setiausaha politiknya, Shahredzan Johan telah meminta Pendakwa Raya menjelaskan alasan mahkamah menambah hukuman terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Pada 9 April 2018, hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail telah menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas Wan Ji selepas penceramah bebas pro-DAP itu didapati bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Bagaimanapun 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.

Dia didakwa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam pada jam 10 pagi, 5 November 2012.

Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu. Sebaliknya, hakim Datuk Abdul Halim Aman telah meminda hukuman 9 bulan penjara kepada setahun penjara selepas memberikan pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

Tommy Thomas ketika memberikan penjelasan menyatakan, dia tidak menyedari mengenai rayuan balas pendakwaan dalam kes hasutan Wan Jin sehinggalah hukuman baru dikeluarkan pada Selasa lepas. Menurut kenyataannya lagi, Tommy Thomas berkata, berdasarkan kronologi, rayuan balas pendakwaan dibuat sebelum PRU-14 lalu.

Tommy Thomas telah dilantik sebagai Peguam Negara pada 5 Jun 2018. Sebelum itu, dia adalah peguambela yang mengendalikan kes-kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng termasuklah kes rasuah banglo Jalan Pinhorn. Dia juga merupakan peguam yang mewakili Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Di dalam bukunya yang bertajuk, “Anything But The Law” pada 2016, Tommy menceritakan mengenai kedudukannya selaku peguam Chin Peng dan PKM selain mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng ditanam di Sitiawan, Perak.

Dia turut menggesa dan mendesak Kerajaan Malaysia agar mengisytiharkan Chin Peng sebagai “one of the great liberation fighters of the second half of the twentieth century” dan “a major contributor to Merdeka” sedangkan Chin Peng adalah musuh negara, malahan ketua Parti Komunis Malaya itu tidak pernah menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu atau pun Malaysia.

Wan Muhammad Azri adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini