KUALA LUMPUR – Seorang jurutera tapak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Sematan dan Lundu, Sarawak.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 pagi itu, suspek berusia 31 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Pueh Sematan, Lundu hasil risikan dan maklumat awam.
Turut ditemukan bersama suspek ketika ditahan iaitu dadah dipercayai syabu bernilai RM4,500.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, turut ditahan iaitu seorang lagi pekerja tapak pembinaan itu yang datang ke rumah suspek untuk membeli dadah.
“Hasil pemeriksaan di bilik tidur di rumah suspek, kita menemukan tiga peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu 31.15 gram.
“Aktiviti pengedaran dadah ini dipercayai bermula sejak akhir tahun lalu dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sahar, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lundu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN ONLINE











