Jururawat PPUM maut, suami parah kemalangan di LPT2 - Utusan Malaysia

Jururawat PPUM maut, suami parah kemalangan di LPT2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 18 Julai – Seorang jururawat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) maut manakala suaminya parah selepas kereta mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler simen di Kilometer 415.7 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Ajil-Telemung di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Zahratul Ardiah Ismail, 34, yang menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Mazlan Machap, 34, yang merupakan pegawai perlesenan di Putrajaya parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian mangsa bersama suami dan anak lelaki mereka yang berusia lima tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Pulau Perhentian di Besut, Terengganu untuk bercuti di pulau peranginan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, katanya, anak mangsa, Zhariff Mufeed Mazlan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati Toyota Estima dipandu Mazlan melanggar sebuah treler simen jenis Hino yang berada di hadapannya.

“Treler itu dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan dari arah Gebeng, Pahang, namun pemandu lori berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu untuk tindakan lanjut manakala suaminya, dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini