Julia Farhana buat badan untuk filem - Utusan Malaysia

Julia Farhana buat badan untuk filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lebih empat tahun bergelar pelakon, Julia Farhana cukup teruja apabila kali pertama ditawarkan watak utama dalam filem aksi Coast Guard yang bakal menemui penonton pada tahun depan.

Dalam filem tersebut, Julia atau nama lengkapnya Julia Farhana Marin memegang watak sebagai anggota maritim bernama Leftenan Melati.

Cukup bersemangat apabila ditawarkan filem aksi, Julia kini dalam proses untuk mendapatkan bentuk badan yang tegap dengan menjalani latihan sebenar sebagai anggota maritim bersama agensi Maritim Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ikuti temu bual bersama Julia, 27, ketika ditemui pada majlis sidang akhbar filem Coast Guard baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Julia kongsikan lanjut tentang pengalaman menjalani latihan bersama APMM?

JULIA FARHANA: Pada awalnya, saya fikir latihan yang bakal dijalankan biasa-biasa sahaja sebab saya memang seorang yang aktif bersukan. Namun, ia jauh meleset sebab latihan tersebut sangat berat. Bermula seawal 6.30 pagi, saya mula berjoging sepanjang lima kilometer (km), kemudian 8 pagi bersenam di gimnasium sebelum masuk ke kelas pada pukul 9 pagi. Kemudian pada pukul 11 pagi, kami menjalani latihan kawad kaki dan bersambung dengan latihan lain sehingga pukul 11 malam setiap hari. Nampak seperti banyak, tetapi itu cuma 10 peratus sahaja daripada latihan sebenar mereka.

Apa yang paling mencabar sepanjang menjalani latihan?

Latihan fizikal tidak terlalu membebankan dan setakat ini saya masih okey melakukannya. Cuma, saya pernah hampir lemas ketika menjalani latihan menyelam di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan, Pahang. Perkara itu terjadi akibat kecuaian sendiri memandangkan saya terlalu yakin boleh melakukannya. Kejadian berlaku disebabkan saya terlepas regulator sehingga topeng muka terbuka. Mujurlah jurulatih yang ada di situ cepat-cepat membantu. Tetapi saya tidak pernah serik atau trauma sebab kejadian itu membuatkan saya semakin berhati-hati.

Jika anda mengatakan latihan fizikal tidak susah, jadi apakah perkara paling mencabar untuk filem berkenaan?

Paling susah untuk saya bezakan antara Melati dengan Leftenan Melati. Biarpun orang yang sama tetapi Melati dan Leftenan Melati mempunyai karakter yang sangat berlainan. Saya sudah membaca skrip lebih daripada 10 kali dan atas sebab itu, saya akan belajar berlakon dengan guru lakonan secara peribadi supaya saya dapat menjiwai watak itu dengan baik.

Melakonkan filem aksi bukan mudah. Apakah segala latihan yang perlu dijalani membuatkan anda serik?

Tidak, bahkan saya semakin bersemangat sehingga saya mahu mendapatkan badan yang sedikit otot demi lakonan. Tetapi bukanlah terlampau banyak, cukup sekadar badan saya kelihatan tegap. Dalam filem ini saya ada terlibat dalam babak aksi berlawan satu lawan satu dengan penjenayah. Saya bayangkan babak mengacu pistol, pasti akan tampak sempurna jika saya mempunyai bentuk tubuh yang cantik. Lagipun, tidak pernah lagi ada heroin yang pernah melakukan aksi berlawan atau pertempuran. Jadi saya mahu beri kepuasan kepada penonton.

Baiklah. Mungkin boleh berkongsi sedikit tentang perkembangan peribadi termasuk hubungan dengan bekas kekasih, Erwin Dawson?

Sekarang saya sangat sibuk dengan karier. Tidak lama lagi, saya akan terlibat dalam sebuah drama untuk slot Akasia arahan Osman Ali. Selepas lebih empat tahun, baru sekarang karier saya perlahan-lahan naik.

Jadi fokus memang ke arah karier, sekali gus membuatkan saya tidak bersedia untuk sebarang hubungan dengan sesiapa. Bercakap tentang Erwin, kami masih berkawan seperti biasa tetapi untuk kembali bersama, tidak. Cuma masing-masing bersikap profesional dan tidak menolak andainya disatukan dalam naskhah yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini