KUALA LUMPUR 8 Julai – Taktik licik berselindung disebalik banglo mewah bagi mengelirukan anggota polis akhirnya terbongkar apabila premis itu yang berfungsi sebagai ‘calling center’atau pusat panggilan oleh sindiket judi dalam talian diserbu hari ini.
Serbuan itu dilakukan di sebuah rumah mewah empat tingkat di kawasan Kuchai Lama dekat sini oleh sepasukan polis dari Bahagian D7, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, premis yang menjadi pusat panggilan aktiviti judi dalam talian ini terletak di Taman Gembira yang mensasarkan rakyat China dan tempatan.
“Hasil siasatan awal mendapati premis ini telah di sewa dalam deretan rumah-rumah mewah bagi mengelak di kesan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Rusdi memberitahu, dalam serbuan tersebut pihaknya telah menahan sembilan lelaki Cina berumur antara 20 hingga 40 tahun.
“Kami turut merampas 18 buah monitor Komputer, sembilan CPU, 28 buah telefon bimbit, 30 buah external transfer, modem dan router,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) & (d) Akta Pertaruhan 1953. – UTUSAN ONLINE











