LONDON – Jenayah melibatkan pisau di England dan Wales melonjak pada rekod baharu dengan lebih 43,500 kes dicatatkan sejak setahun lalu, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Menurut statistik kerajaan, jenayah pisau sepanjang tempoh tersebut adalah tertinggi di Britain sejak Perang Dunia Kedua manakala 2018 dianggap tahun paling berdarah dalam tempoh satu dekad.
Statistik itu diumumkan kelmarin, sehari selepas beberapa laporan mendedahkan bahawa mereka yang berulang kali ditangkap kerana membawa pisau dan melakukan jenayah masih dapat mengelak daripada hukuman penjara.
Hampir 4,000 pesalah tersebut turut memiliki 50 kes jenayah lampau.
“Secara keseluruhan, kadar jenayah tidak banyak berubah tetapi sesetengah kategori jenayah menyaksikan peningkatan.
“Sebagai contoh, terdapat peningkatan jenayah ganas yang menggunakan pisau dan senjata tajam lain,” kata Mark Bangs daripada pertubuhan pemantau, Pusat Jenayah dan Keadilan ONS.
Antara jenayah kejam melibatkan pisau termasuk kes seorang lelaki menikam mati bekas teman wanitanya semasa acara larian sekolah.
Ricardo Godinho, 41, didapati bersalah menikam Aliny Mendes, 39, di hadapan anak perempuan mangsa, Ewell, 3, pada Februari lalu.
Pada minggu lalu pula, seorang pembunuh berusia 17 tahun dipenjara seumur hidup kerana menikam mati remaja lain selepas dia tidak dibenarkan masuk ke sebuah parti Halloween pada 27 Oktober tahun lalu. – Agensi











