Jemaah Malaysia terharu memasuki Raudhah - Utusan Malaysia

Jemaah Malaysia terharu memasuki Raudhah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH 6 Julai – Jemaah haji Malaysia yang telah berada di kota suci di sini tidak melepaskan peluang untuk melakukan pelbagai ibadat serta ziarah di dalam Masjid Nabawi, terutama melakukan solat-solat wajib dan sunat.

Selain daripada solat dan melakukan ziarah ke makam Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, jemaah juga mengambil peluang bersama-sama ratusan ribu jemaah dari seluruh dunia melakukan solat Jumaat semalam.

Masjid Nabawi merupakan satu daripada tiga masjid yang menawarkan ganjaran pahala yang besar apabila beribadat di dalamnya, selain Masjid Haram di Mekah dan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut seorang jemaah, Haslinda Mohd. Jalil dari Batu Pahat, Johor, pengalaman mengunjungi Masjid Nabawi dan bepeluang sujud di kawasan Raudhah merupakan sesuatu yang sangat istimewa dan tidak dapat dilupakan.

SEBAHAGIAN jemaah haji dari Malaysia dari penerbangan KT01melawat sekitar Masjid Nabawi di Madinah s
SEBAHAGIAN jemaah haji dari Malaysia dari penerbangan KT01melawat sekitar Masjid Nabawi di Madinah semalam. – UTUSAN ONLINE/RIDZWAN MD. IMAN

“Kita kena banyak bersabar untuk memasuki kawasan Raudhah dan Alhamdullilah saya dapat sujud di kawasan itu dengan tidak terlalu ramai pengunjung,” katanya yang tinggal di Hotel Alharam yang terletak kira-kira 300 meter dari Masjid Nabawi.

Pengurus Ibadat Madinah Tabung Haji, Mohd. Zamri Ramli berkata, membawa jemaah melawat ke dalam kawasan-kawasan sekitar Masjid Nabawi merupakan sebahagian daripada program yang diatur untuk jemaah haji dari Malaysia.

“Seramai 12 orang pembimbing ibadat haji ditempatkan di Madinah untuk membantu para jemaah melakukan ibadat dengan mempunyai pengetahuan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Program Ziarah Dalam melibatkan kunjungan ke Masjid Nabawi, ziarah Makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Umar, solat sunat di Raudhah, menziarah perkuburan Al-Baqi’ dan melawat kilang mencetak al-Quran.

Bagi jemaah Nik Mohd. Amin Nik Ismail, perasaannya tidak dapat digambarkan ketika berpeluang solat di dalam Masjid Nabawi, terutama di kawasan Raudhah selepas mengikuti program yang disusun oleh Tabung Haji.

“Walaupun jemaah lelaki agak ramai untuk memasuki kawasan Raudhah, saya berpeluang juga beribadat kira-kira selama lima minit dan ia merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan,” katanya.

Raudhah yang merupakan kawasan berkarpet hijau terletak antara Makam Rasulullah dan mimbar Nabi adalah sebahagian daripada kawasan Masjid Nabawi yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda apabila beribadat di dalamnya.

Kunjungan ke Muzium al-Quran berhampiran Masjid Nabawi juga memberi pengalaman dan pengetahuan baharu kepada jemaah yang diberi penerangan bagaimana proses penghasilan al-Quran secara tulisan tangan sejak zaman sahabat Rasulullah.

“Terdapat juga video dan penerangan bagaimana rumah-rumah penduduk Madinah di zaman dahulu dibina menggunakan tanah liat yang menjadi tempat mereka berteduh,” tambah Nik Mohd. Amin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini