MADINAH 5 Julai – Jemaah haji Malaysia yang mula tiba di tanah suci Madinah di mana terletaknya Masjid An-Nabawi dan juga makam junjungan besar Nabi Muhammad melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadat haji tahun ini.

Bagi mereka, tiada perkataan dapat menzahirkan rasa kesyukuran yang amat sangat kerana peluang yang ditunggu-tunggu untuk menunaikan ibadat rukun Islam kelima itu telah tiba kali ini.
Mengikut beberapa jemaah yang ditemui, kebanyakann mereka mendaftar di Tabung Haji pada 2008 dan telah melakukan pelbagai persediaan seperti menghadiri kursus asas, intensif dan perdana di tanah air.
Menurut Samsul Rizal Abdullah, 43, yang bertugas di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Johor, perasaannya agak sebak ketika mendapat berita berpeluang menunaikan ibadat haji tahun ini bersama-sama kumpulan jemaah pertama KT01.
Katanya, isterinya tidak dapat mengikuti untuk bersama-samanya menunaikan ibadat tersebut kali ini kerana mempunyai anak berumur tiga tahun yang masih menyusu badan.

“Saya sangat sedih kerana meninggalkan anak dan isteri dan berazam menggunakan peluang seumur hidup sekali menunaikan ibadat ini untuk menjadi insan yang lebih baik,” tambahnya yang tidak sabar untuk menziarah makam Rasullullah SAW di Masjid An-Nabawi.
Jemaah dari Kedah, Jasmi Ahmad, 41, juga baersyukur kerana terpilih untuk menjadi tetamu Allah kali ini bersama-sama isteri selepas mendaftar kira-kira 11 tahun yang lepas.
“Saya dan isteri juga tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum ini dan berasa sungguh bertuah kerana berpeluang menjadi kumpulan jemaah Malaysia yang pertama,” katanya yang merupakan kakitangan Lembaga Zakat Kedah.

Isterinya, Noor Suriani Tajuddin, 43, berkata, memandangkan dia dan suami tidak pernah menunaikan umrah sebelum ini, maka segala pengalaman perjalanan jemaah haji ini merupakan yang pertama.
Pasangan yang mempunyai empat orang anak itu meningggalkan anak-anak mereka untuk jagaan kepada kedua ibu bapa sepanjang tempoh menunaikan ibadat tersebut yang mengambil masa 44 hari. – UTUSAN











