KOTA BHARU -Pada ketika peminat teruja mengikuti perkembangan dalam pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), pengendali The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah sebaliknya hanya ada satu pesanan buat pengurusan baharu Kafa – jangan culas bayar gaji pemain dan jaga kebajikan pasukan.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) memilih Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai Presiden Kafa bagi penggal 2019-2023 dalam Kongres Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu.
Wan Abdul Rahim yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Rahim pada mulanya menewaskan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz dengan 25 undi berbalas 20, namun kemenangan itu tidak dikira kerana peraturan menetapkan undian mesti dua pertiga.
Amril Aiman nyata bukan tandingan Cikgu Rahim apabila Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu kemudian menang bergaya dengan undi 28 undi berbalas 16.
Datuk Seri Afandi Hamzah pula terus diberi mandat menduduki kerusi No.2 dengan 23 undi.
Afandi menewaskan Yusri Ismail dengan kelebihan dua undi manakala seorang lagi calon, Datuk Seri Mohd. Zumridi Thambi hanya meraih dua undi.
“Sebagai manusia saya perlu membela pemain kerana mereka beraksi malam ini (kelmarin) tanpa dibayar gaji dua bulan setengah.
“Ada juga dalam kalangan kami (jurulatih) tidak menerima gaji hampir tiga bulan, namun tetap datang ke tempat latihan tanpa jemu dan alasan.
“Pemain tetap menunjukkan komitmen tinggi, malah ada yang tidak sihat sanggup menawarkan diri untuk diturunkan.
“Saya seperti ingin menangis melihat betapa tingginya semangat mereka,” kata Yusri dengan penuh emosi selepas pasukannya menewaskan Selangor United 2-0 pada saingan Liga Perdana kelmarin.
Yusri amat yakin sekiranya pengurusan baharu Kafa menjaga pemain muda Kelantan dengan baik, mereka mampu mengembalikan imej pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia.











