SEREMBAN 2 Julai – Umat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan status halal sesuatu makanan dan minuman hanya kerana terpengaruh dengan trend semasa dan produk yang tular dalam media sosial.
Nasihat itu disuarakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad yang meminta orang Islam sentiasa memastikan makanan yang diambil benar-benar halal dan bersih mengikut hukum agama.
“Jangan kita suka ikut orang. Apabila ramai yang beli, maka kita pun beli tanpa mengira sama ada ia mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau sebaliknya.
“Sebaik-baiknya kena ada sijil supaya kita lebih yakin dengan status halal makanan atau minuman itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Nasi Kandar Liga Maju di Seremban 2 di sini.
Yang turut hadir Pengarah restoran, Mohd. Ismail Abu Bakar.
Mohd. Yusof berkata demikian berikutan trend sesetengah umat Islam yang gemar membeli makanan dan minuman yang tular dalam media sosial tanpa mengambil kira bahan dan proses menghasilkannya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pemilik restoran mamak di negeri ini supaya mendapatkan sijil halal bagi menambah keyakinan pelanggan terutama pelancong dari negara-negara Islam.
“Saya dimaklumkan hanya ada satu restoran nasi kandar yang ada sijil halal. Bukanlah bermakna yang lain-lain itu tidak halal tetapi kalau ada sijil, pelanggan lebih yakin.
“Banyak tempat kita lihat di bahagian depan cantik tetapi di tempat penyediaan, ayam diletakkan atas lantai, pakaian pekerja di dapur tidak terurus.
“Kalau ada sijil sudah tentu ada pemantauan jabatan agama Islam dan aspek kebersihan, bahan, makanan dan tempat penyediaan makanan terjamin kebersihan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Ismail berkata, pihaknya sedang dalam proses mendapatkan sijil halal bagi restoran tersebut dan akan mematuhi semua aspek kebersihan dan halal yang ditetapkan pihak berkuasa.











