KUALA LUMPUR 15 Julai – Kenyataan dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang memberi pendapat tentang pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Jemaah Penasihaf parti komponen itu bukan satu kesalahan.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hanya pendapat mereka dalam UMNO.
“Tiada tindakan perlu diambil terhadap Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin.
“Tambahan pula jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat BN bukan satu jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan BN, tapi merupakan tindakan konsensus BN yang lebih bersifat administratif dan budi bicara”, katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook milik beliau di sini, semalam.
Justeru Annuar meminta semua pihak tidak mempolimikkan perkara itu secara berlebihan.
Tegas beliau, semua orang bebas memberikan pandangan peribadi masing-masing.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN berlapang dada dan mengambil sikap terbuka terhadap pandangan pandangan peribadi pelbagai pihak.
“Tiada sebarang tindakan disiplin perlu diambil terhadap sesiapa mengenai isu tersebut”, ujarnya. – UTUSAN ONLINE











