IDEA pengisytiharan harta dalam kalangan anggota legislatif dan pentadbiran mula dibincangkan pada dekad 1950-an di Barat. Antara yang terawal menyebutnya adalah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Harry S. Truman pada 1951.
Tujuannya tidak lain tidak bukan sebagai satu mekanisme untuk memerangi rasuah. Namun mendedahkan kepada umum jumlah pendapatan dan harta bagaimanapun bukan hal mudah kerana dibimbangi menceroboh ruang privasi.
Di AS sendiri mengambil masa lama termasuk hanya selepas berdepan skandal Watergate yang masyhur sebelum perkara itu dilaksanakan menerusi penggubalan Akta Etika Dalam Kerajaan 1978.
Dan empat dekad berikutnya selepas era ketelusan mula mengambil tempat di seluruh dunia, Malaysia mengambil langkah bersejarah dengan meluluskan usul mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan di Dewan Rakyat semalam.
Berkesan atau tidak, memang terdapat perdebatan mengenainya walaupun kini kira-kira 125 negara mempunyai peraturan sama di seluruh dunia termasuk negara-negara yang baru mengenal demokrasi seperti di Eropah Timur.
Yang pasti, untuk matlamat memerangi rasuah dalam kalangan wakil rakyat dan Jemaah Menteri tercapai, usaha ini harus disusuli dengan pelbagai langkah lagi termasuk masyarakat dan media yang bebas.
Ini supaya Malaysia mempunyai persekitaran yang sensitif dan responsif sehingga sebarang unsur salah laku, penyelewengan akan diberi perhatian serius masyarakat sivil serta media.
Selain itu, unsur hukuman kepada maklumat salah di samping penglibatan institusi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bebas sangat mustahak agar pengisytiharan harta tidak hanya di atas kertas.
Yang diminta diisytihar sama adalah harta isteri, pasangan dan anak tetapi bukan apa, terdapat 1,001 cara untuk menyembunyikan kekayaan daripada hasil salah dan ini menjadi perbincangan berterusan di peringkat global.
Maka ada negara meminta maklumat aset dan pendapatan mereka yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Ahli Parlimen berkenaan. Malah ada cadangan supaya ada badan khusus yang bertanggungjawab kepada pengisytiharan harta.
Di Albania sudah wujud institusi tersebut yang turut mencegah sebarang unsur konflik kepentingan dalam anggota pentadbiran. Justeru, langkah penubuhan institusi khusus itu harus disusuli Malaysia selepas usul semalam.
Kalau tak, ada lagi nanti yang isytihar harta tetapi kosong aset. – UTUSAN ONLINE











