IPOH 27 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Perak hanya akan mengisyitharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya kepada Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini kerana Speaker DUN Perak tidak mempunyai kuasa eksekutif.
Menurut Saarani, usul supaya semua ADUN mengisytiharkan harta yang telah diluluskan pada sidang DUN negeri baru-baru ini telah memberikan kuasa orang yang tidak sepatutnya.
Katanya, ia melanggar asas doktrin pengasingan kuasa antara pihak perundangan,eksekutif dan kehakiman.
“Wakil rakyat adalah badan perundangan dan tidak boleh mengambil kerja SPRM yang merupakan badan eksekutif.
“Kita tak akan isytihar harta kepada Speaker DUN, saya nak tengok apa dia buat, adakah dia nak gantung tugas saya?.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini.
Mesyuarat dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Saarani turut mempertikaikan kenapa borang pengisytiharan harta semua ADUN Perak perlu diberikan kepada Speakar DUN.
“Borang itu dia nak buat apa? Apa kuasa Speaker untuk melihat, menyemak, buat analisa borang tersebut, apa tindakan yang dia boleh buat? Tak boleh.
“Ini menunjukkan mereka tamak kuasa. Puak-puak ini ini kalau diberikan kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











