KUALA LUMPUR 16 Julai – Angkatan Muda Keadlian (AMK) Shah Alam mahu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam konflik yang sedang melanda parti itu.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Penerangan PKR. Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang menasihatkan pemimpin dikaitkan dengan tuduhan salah laku supaya bercuti sementara sehingga siasatan pihak berkuasa selesai serta penahanan beberapa individu berhubung siasatan penyebaran video seks.
Ketua AMK Shah Alam, S. P. Sarawanan memohon Anwar terus membantu parti menjaga integriti dan nama baik dengan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli PKR yang terlibat dalam penyebaran video-video tersebut dan didapati bersalah di sisi undang-undang.
“Hal ini kerana saya difahamkan bahawa terdapat seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut terlibat dalam penyebaran video-video tersebut selepas beberapa individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.
“Justeru itu, tanpa mengira faktor kedudukan individu-individu yang terlibat, sama ada beliau adalah seorang ADUN ataupun ahli Parlimen, siasatan tetap perlu dijalankan ke atas mereka dan tindakan tegas perlu dikenakan sekiranya mereka bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, beliau mewakili Ketua-ketua AMK Selangor meminta pihak PDRM agar bertindak-adil dan tegas terhadap individu-individu yang terlibat dalam kes penyebaran video lucah dan fitnah yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – UTUSAN ONLINE











