KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia yang bakal menyertai Sukan SEA Manila 2019 dijangka berdepan masalah selepas pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) masih gagal mencari penyelesaian bagi isu makanan halal.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, Malaysia membangkitkan isu makanan halal tersebut semasa Mesyuarat Ketua Kontinjen di Manila baru-baru ini dan pihak penganjur tidak dapat memberikan sebarang jawapan meyakinkan mengenai perkara itu.
Katanya, tiada sebarang masalah untuk atlet yang tinggal di perkampungan sukan di Clark kerana makanan halal tersedia buat semua atlet sepanjang hari namun masalah akan menimpa atlet yang berada di Manila dan Subic.
“Semasa mesyuarat itu saya bertanyakan mengenai perkara ini tetapi mereka hanya memberi jawapan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu dan tiada jawapan konkrit mengenainya.
“Mereka tidak boleh memberi jaminan makanan itu halal sepenuhnya kerana definisi halal bagi mereka berbeza dengan masyarakat kita di sini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, Megat meluangkan masa melihat persiapan atlet tinju, petanque dan sepak takraw wanita yang akan bersainga di Sukan SEA Manila 2019.
Megat memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pengurus pasukan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu makanan halal di Filipina bagi memudahkan kontinjen Malaysia semasa berada di sana.-UTUSAN ONLINE











