TUMPAT – Isu hampir 4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas namun masih belum mendaftar sebagai pengundi sebenarnya lebih kritikal dan perlu diberi keutamaan berbanding menurunkan had umur mengundi 21 tahun kepada 18 tahun.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menerima jawapan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat semalam bahawa terdapat 3.99 juta orang yang berumur 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pengundi.
Beliau berkata, pendaftaran automatik adalah jawapan mudah kepada isu tersebut, berbanding membiarkan parti-parti politik bersusah payah mencari pengundi untuk didaftarkan.
“Yang nak dikejar (kerajaan) adalah (merendahkan) kepada umur 18 tahun yang cuma 1.5 juta orang sedangkan ada 4 juta orang yang (sudah layak) belum mendaftar, ini yang patut jadi keutamaan.
“Sebab itu (usul) pindaan Perlembagaan itu kita akan sokong tetapi mesti disekalikan dengan pendaftaran automatik, kita bukan nak pengundi yang lebih muda sahaja tetapi kita perlu ramaikan lagi pengundi.
“Sekarang orang UMNO cari pengundi, orang Pas cari pengundi, orang DAP pun cari, kenapa kita perlu buat begitu, kenapa susah payah, kalau (pendaftaran) automatik lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tumpat di Dewan UMNO Tanjong Che Mas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Zulkifli Abdullah; Ketua Wanita UMNO Bahagian Tumpat, Nik Noriza Nik Salleh; Ketua Pemuda UMNO Tumpat, Rosdi Razali dan Ketua Puteri UMNO Tumpat, Maziyana Ahmad.
Selaras dengan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pemuda Pas Tumpat, Mubarak Abdul Majid serta rombongannya. – UTUSAN ONLINE











