IRDA dan Suruhanjaya Tinggi British jalin kerjasama - Utusan Malaysia

IRDA dan Suruhanjaya Tinggi British jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 30 Julai – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Suruhanjaya Tinggi British menjalin kerjasama bagi memperkukuhkan pelan pembangunan bandar dan pengangkutan di Iskandar Malaysia menerusi Dana Kemajuan Program Bandar Masa Depan Global United Kingdom 2019-2022.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay dan disaksikan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal di Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan IRDA dan Suruhanjaya British, menerusi program itu, sebanyak RM16 juta diperuntukkan bagi menjayakan dua projek kerjasama iaitu Sistem Pengurusan Bersepadu Mobiliti Pintar dan Data Pengurusan dan Penggunaan untuk Pelan Pembangunan Bandar dan Pengangkutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah kenyataan itu, kedua-dua projek yang dicadangkan itu menyasarkan untuk mempromosi pembangunan pengangkutan yang efektif dan efisyen di Iskandar Malaysia sejajar usaha mempertingkat kesedaran orang ramai menggunakan pengangkutan awam selaras pengenalan perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT).

Dalam pada itu, Ismail berkata, pengangkutan bakal menjadi salah satu faktor yang menjadikan Iskandar Malaysia bukan sahaja sebagai salah satu destinasi pilihan pelabur baik dari dalam mahu pun luar negara, malah menjadi lokasi pilihan tempat tinggal selain pekerjaan di masa akan datang.

Yang lebih penting, tambahnya, segala program yang dirancang di wilayah terbabit dilaksanakan demi kepentingan rakyat, pelabur dan pengunjung.

“Justeru, kita berharap, kerjasama yang dijalinkan bersama Suruhanjaya Tinggi British itu menjadi perangsang kepada segala usaha yang kita rancang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×