SINTOK 3 Julai – Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangannya yang melakukan pelanggaran berkaitan integriti akademik.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, UUM memiliki sistem yang cekap dan boleh dipercayai untuk mengendalikan ketidakjujuran akademik.
Menurutnya, pihak universiti sentiasa mengambil langkah yang wajar untuk menguruskan masalah terbabit dengan baik sebelum kepercayaan terhadap integriti akademik hilang.
“Di UUM, mana-mana kes yang berkaitan dengan integriti akademik yang mempengaruhi reputasi dan imej universiti akan dirujuk kepada Unit Tatatertib dan kepada Jawatankuasa Pencegahan Rasuah untuk dibicarakan.
“Selain itu, sebarang pelanggaran juga akan tertakluk kepada Kod Etika Profesion Staf Akademik dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] mengikut mana-mana yang terpakai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang dilaporkan berkata, adalah lebih baik tenaga pengajar di universiti tidak mencapai sasaran atau sistem petunjuk prestasi utama (KPI) berbanding menciplak hasil kerja pelajar pasca-siswazah mereka.
Mengulas lanjut, Ahmad Bashawir berkata, UUM setakat ini tidak merekodkan sebarang kes yang membawa kepada sabitan kakitangan atau pelajar mengenai integriti akademik di universiti itu.
“Kami ingin mengekalkan kedudukan ini untuk melindungi reputasi sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka dan semua warga universiti juga wajib mematuhi nilai integriti dan bertindak mengikut prinsipnya.
“Ini kerana integriti akademik penting memandangkan kepercayaan dan nilai yang diberikan kepada hasil akademik adalah landasan pembangunan dan pemerolehan pengetahuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











