PUTRAJAYA 5 Julai – Kementerian Kewangan meluluskan insentif cukai bagi syarikat dan individu yang menyumbang wang tunai atau penajaan bagi penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, individu dan syarikat terlibat layak untuk mendapatkan potongan tujuh hingga 10 peratus daripada pendapatan agregat masing-masing mengikut Seksyen 44 (11C)(a)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 bermula 1 Julai 2019 hingga 10 April 2021.
“Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melalui Geran Pembangunan Pasaran juga akan menawarkan geran bernilai sehingga RM200,000 kepada pemohon yang berjaya.
“Kedua-dua insentif ini adalah bagi menggalakkan lebih banyak syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana, kesatuan pekerja dan penyedia perkhidmatan profesional
menyertai Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen My Butterfly Effect: Ekspo 2020 Dubai, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Bee Yin berkata, kementeriannya kini sedang menjalin kerjasama dengan pelbagai organisasi yang terlibat dalam teknologi berkaitan solusi kelestarian sebagai usaha mendapatkan prospek perkongsian dan penajaan.
“Justeru, saya berharap akan ada lebih banyak syarikat mengambil bahagian sama ada yang menaja atau menyertai ekspo ini,” katanya
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pihaknya menyasarkan nilai potensi dan pelaburan lebih RM10 bilion menerusi penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai selain 1,000 peluang perniagaan dan 20 Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Perkongsian dapat dimeterai.
Ekspo 2020 Dubai akan berlangsung selama enam bulan bermula Oktober 2020 hingga April 2021 di Pusat Pameran Dubai dengan keluasan 4.38 kilometer persegi. – UTUSAN ONLINE











