iGuru sokong tapi minta taklimat, latihan cukup - Utusan Malaysia

iGuru sokong tapi minta taklimat, latihan cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Julai – Keputusan kerajaan yang menggunakan perkhidmatan talian internet daripada tiga syarikat penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dilihat mampu meningkatkan kualiti sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

Pre­si­den Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, usaha itu juga secara tidak langsung dapat mengoptimumkan kewangan sekali gus menyumbang kepada keberkesanan proses pengajaran dan pemudahcaraan (pdPc).

Katanya, langkah ber­kenaan walau bagaimanapun tidak akan berjaya sekiranya perubahan yang dilakukan itu tidak mempunyai perancangan dan susunan jelas, khususnya melibatkan guru dan pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“iGuru menyambut baik perubahan perkhidmatan internet ini dan berharap agar usaha ini dilaksanakan secara terancang dan sistematik supaya hasrat kerajaan untuk mendigitalkan akses pembelajaran ini tercapai dan memberikan manfaat pendidikan kepada warga guru dan para pelajar.

“Oleh itu, iGuru mengesyor­kan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan agar memberikan taklimat secu­kup­nya kepada guru disusuli latihan yang intensif untuk berdepan perubahan ini ter­utama menggunakan Google Classroom sebagai pelantar pembelajaran alternatif menggantikan Frog VLE.

“Ini kerana menjadi kebimbangan kita, jika tidak diberikan latihan yang cukup maka keberkesanan program ini tidak akan tercapai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizee berkata, pihaknya ya­kin semua guru boleh menerima pembaharuan khususnya perkhidmatan daripada syarikat ISP berkenaan dengan melihat kepada kemampuan untuk meningkatkan kecekapan pengajaran dan pem­belajaran digital sesuai dengan PdPc abad ke-21.

“Namun, daripada aspek yang lain iGuru berharap kerajaan juga perlu melihat prasarana terutama sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman supaya akses capaian internet mudah diperoleh bagi mencapai tujuan pembelajaran dan pengajaran digital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini