MARANG – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan membina sebuah hypermarket digital untuk membantu ahlinya memasarkan kesemua produk di pasaran domestik dan luar negara seperti Eropah, Arab Saudi dan ASEAN.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, bagi tujuan itu pihaknya telah mengenalpasti tapak milik Pertubuhan Peladang kawasan (PPK) seluas 1.2 hektar di Johor dan upacara pecah tanah dijangka dilaksana awal tahun depan dengan projek pembinaan mengambil masa 18 bulan untuk siap.
“Apabila siap kelak, bangunan ini bukan saja bakal menjadi mercu tanda baharu LPP, lebih penting ia mampu membantu ahli-ahli peladang memasarkan produk masing-masing.
“Konsep hypermarket digital peladang ini seperti Lazada, barulah kita dapat lihat produk kita akan berada di persada dunia seperti Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan negara-negara rantau Eropah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-37 PPK Marang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah LPP negeri, Amiruddin Bahar dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Marang, Maliki Kassim.
Menurut Mazlan, dalam mengreformasikan sektor pertanian negara, beliau mengajak ahli-ahli pertubuhan itu agar sentiasa pro aktif dalam menjalankan aktiviti dengan menjadikan bidang tersebut sebagai penyumbang ekonomi terpenting.
“Kita melihat pertanian sekarang bukan lagi satu perniagaan, sebaliknya kita jadikan sektor ini sebagai satu industri (hiliran), harapan kita agar PPK tidak lagi bercakap mengenai soal kerugian atau keuntungan hanya RM20,000 hingga RM30,000, sebaliknya mereka perlu berusaha meletakkan keuntungan RM2 juta hingga RM3 juta setiap tahun.
“Mulai sekarang, kita perlu ubah pesepsi lama, paling penting semua pihak perlu memiliki pemikiran perniagaan bagi memajukan peladang kita. Pesawah padi perlu dipertingkatkan pengeluarannya sehingga 10 dan 11 metrik tan padi berbanding 5 hingga 6 metrik tan (sehektar) sekarang ini,” jelasnya.
Mengenai Yayasan Peladang pula, Mazlan menjelaskan bahawa penubuhan yayasan itu nanti bukan sahaja menjaga kebajikan 920,000 peladang di negara ini malah membantu menangani apa juga masalah berkaitan. – UTUSAN ONLINE











