KUALA LUMPUR – Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang masing-masing akan kekal menjalani penggantungan 20 dan 15 tahun selepas rayuan mereka untuk menggugurkan pertuduhan mengatur perlawanan ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan hukuman itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menerusi hukuman yang diputusakan BWF, Zulfadli perlu melunaskan denda sebanyak AS$25,000 (RM103,000) manakala Chun Seang dikenakan denda sebanyak AS$15,000 (RM61,634)
CAS dalam penghakiman mereka berpuas hati dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap kedua-dua pemain dan memutuskan hukuman yang dikenakan sebelum ini adalah bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan.
“Zulfadli telah melakukan 31 kesalahan di antara September 2013 hingga Oktober 2016 dan mesej di dalam aplikasi Whatsapp jelas menunjukkan manipulasinya terhadap perlawanan.
“Zulfadli juga didapati menipu semasa proses siasatan dan perbicaraan selain tidak menunjukkan sebarang rasa kesal terhadap perbuatannya. “Dia juga tidak menerima sebarang tekanan daripada mana-mana pihak untuk melakukan perbuatan itu sebaliknya melakukannya secara sukarela bagi meraih keuntungan besar.
“Secara keseluruhannya, panel ini mendapati hukuman penggantungan 20 tahun yang dikenakan BWF terhadap Zulfadli adalah bersesuaian dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang perubahan,” kata CAS dalam kenyataan penghakimannya.
Chun Seang didapati melakukan kesalahan itu secara berterusan selain melibatkan Zulfadli dalam aktiviti itu secara aktif bagi meraih keuntungan berterusan.
Menerusi penghakiman itu juga, bekas pemain itu dituduh merangka segala aktiviti mengatur perlawanan itu sebaik mungkin bagi mencapai misi mereka selain meminta Zulfadli untuk merahsiakannya.
“Di dalam mitigasi penghakiman, Chun Seang mengemukakan rayuan untuk mengurangkan hukuman dengan mengambil kira dia sudah bersara daripada dunia badminton selain tidak berhasrat meneruskan karier dalam bidang itu sebaliknya mahu terlibat dalam bidang kejurulatihan.
“Panel penghakiman mendapati, Chun Seang kesal dengan tindakannya selain ia berlaku pada penghujung kariernya.
“Bagaimanapun, hukuman penggantungan 15 tahun yang dikenakan BWF adalah munasabah dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang perubahan,” kata CAS. – UTUSAN ONLINE











