Hukum solat pakai pakaian tidur - Utusan Malaysia

Hukum solat pakai pakaian tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umum mengetahui bahawa ada enam syarat sah solat. Di antaranya ialah bersihnya badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu. Lebih khusus lagi pakaian yang ingin dibawa solat mestilah bersih dari segala najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (al-Muddatthir : 4)

Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ia merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat.

Pedoman

Begitu juga dapat difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Nabi SAW kepada Khaulah Binti Yasar. Kata Khaulah kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai Rasulullah, Aku ini tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan aku dalam keadaan berhaid. Macam mana nak buat?. Sabda Rasulullah SAW: Jika engkau telah suci daripada haid, basuhlah pakaian tersebut dan solatlah gunakan pakaian itu. (Riwayat Abu Daud)

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Imam al-Nawawi bahawa menurut Mazhab Syafie ialah bersih dan hilangnya najis merupakan syarat sah solat. Jika dia mengetahui adanya najis maka solatnya tidak sah tanpa ada khilaf lagi. Jika dia terlupa atau jahil terhadap najis yang ada pada tubuh, baju dan tempat solatnya maka solatnya juga tidak sah.Tidak kiralah sama ada solat fardu, solat sunat, solat jenazah ataupun sujud tilawahnya. Menghilangkan najis adalah syarat sah bagi kesemua ibadah tersebut. Inilah mazhab para syafi’iyyah, Imam Ahmad dan jumhur para ulama. Sama ada salaf mahupun khalaf.

Menurut Sheikh Nawawi Al-Jawi: Syarat sah solat yang kedua ialah bersih daripada najis yang tidak dimaafkan pada baju iaitu pakaian yang dipakai, bersih najis daripada badan termasuk hidung, mata dan telinganya. Juga bersih najis daripada tempat solat yang mana jika ada najis boleh terlekat pada anggota badan atau pakaian. (Rujuk Kasyifah Al-Saja Syarh Safinatunnaja-hlm 119)

Ini bermakna bahawa sah atau tidak solat seseorang adalah bergantung kepada syarat ini. Jika ia tidak dipenuhi maka tidak sahlah solat seseorang itu.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian itu bersih dan suci daripada najis serta menutup aurat. Namun, seelok-eloknya gantilah kepada pakaian yang lebih elok dan sesuai. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)… (al-A’raaf: 31)

Kata Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat. Terutamanya pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan.

Kesimpulannya, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian tersebut suci bersih dan menutup aurat. Akan tetapi lebih baik memakai pakaian yang lebih elok, kemas dan sesuai. Ini merupakan satu persediaan menghadap Tuhan Yang Maha Esa.

*Sumber Irsyad Al-Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini