Rania Zara Medina dilantik (diiktiraf) oleh Kementerian Kesihatan bagi mewakili pihak kerajaan dalam Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia bagi penggal 2019 hingga 2021. Walhal, wakil negara ke CCM boleh juga dihantar oleh pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepertimana yang diterangkan dalam laman sesawang rasmi CCM.
Kenapa perlu transgender jadi wakil kerajaan kita ke forum antarabangsa seperti CCM mengenai AIDS/ HIV sedangkan mangsa atau kelompok yang berisiko terhadap penyakit itu tidak hanya terhad kepada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) saja. Adakah LGBT ini satu kelompok yang besar dan berpengaruh di negara kita hingga wakilnya perlu dihantar ke peringkat antarabangsa atas nama Kementerian Kesihatan?
Yang menandatangani sijil pelantikan Rania itu adalah Timbalan Menteri Kesihatan yang mungkin tidak sensitif terhadap persepsi Muslim dalam negara memandangkan Timbalan Menteri itu bukan seorang Muslim. Yang bakal menjawab kepada kritikan masyarakat Melayu-Islam nanti ialah kita.
Pelantikan itu mungkin betul daripada segi moral dan undang-undang tetapi langkah tersebut adalah salah daripada segi politik kerana seolah-olah memberi pengiktirafan kepada golongan LGBT mewakili negara atas nama kementerian kerajaan. Sedangkan kita ada alternatif lain yang dekat dengan golongan berkenaan iaitu Ustaz Ebit Lew. Kenapa tidak dilantik saja pendakwah tersebut ke CCM?
Endors dalam bahasa politik sama ertinya memberi pengiktirafan atau lampu hijau untuk sebarang bentuk pelantikan. Lebih-lebih lagi pelantikan itu disertakan sijil dari pihak kerajaan yang mempunyai nilai kuasa selaku dokumen rasmi peringkat kementerian.
CCM tiada kena mengena dengan usaha merawat gejala LGBT. Fokus mereka untuk mencegah dan ke arah membanteras AIDS dan HIV. Oleh kerana CCM juga bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), maka LGBT tidak dianggap sebagai penyakit mental oleh mereka kerana LGBT sudah tidak dianggap sebagai kesongsangan seksual oleh piawai WHO yang turut diikuti oleh Kementerian Kesihatan.
6) Jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menghantar wakil golongan transgender Muslim ke peringkat antarabangsa agar mereka di dakwah dan ‘dirawat’ oleh satu organisasi antarabangsa yang anti gejala LGBT, maka ia tidak menjadi isu.
7) Perlu diingat, CCM juga turut memberi bantuan kewangan untuk program anti AIDS/ HIV nya, jadi menghantar wakil transgender ke CCM bagaikan memperkasakan peranan serta status kewangan kelompok tersebut secara tidak langsung.
Ia bukan soal mahu menindas atau menidakkan fungsi kelompok tersebut dalam masyarakat (selagi tidak melanggar undang-undang), tetapi jika mereka ini dianggap pesakit oleh masyarakat Melayu-Muslim kita maka sepatutnya kita hantar pakar yang mampu merawat penyakit kelamin yang melibatkan mereka ke peringkat antarabangsa agar pakar itu kembali dengan lebih ilmu untuk merawat kelompok LGBT yang dijangkiti AIDS/ HIV.
Sekadar pendapat. Berbeza pendapat itu sepatutnya suatu rahmat.
Dr. Muhammad Faiz Na’aman ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan











