MEKAH 18 Julai – Masalah kehilangan lencana pengenalan diri (lanyard) dan gelang keselamatan merupakan aduan paling banyak diterima Tabung Haji dari jemaah menjelang musim haji.
Pengarah Operasi Mekah, Datuk Ahmad Sohaimi Abd. Rahim berkata, tahun lepas sahaja sebanyak 500 aduan diterima pusat khidmat pelanggan Tabung Haji dengan kebanyakan aduan berkaitan kehilangan lencana.
Katanya, untuk tahun ini pula, pusat khidmat itu telah menerima 200 aduan dari jemaah dengan majoriti aduan berkaitan kehilangan gelang keselamatan.
“Pasport jemaah dipegang oleh pihak berkuasa, maka lencana dan gelang inilah yang menjadi alat penting pengenalan diri bagi jemaah-jemaah dari Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.
Selain itu, terdapat juga aduan-aduan berkaitan sesat jalan, jemaah memerlukan kerusi roda, kemudahan logistik penginapan dan sebagainya yang dikategorikan sebagai aduan ringan dan sederhana.
Katanya, terdapat dua pusat khidmat pelanggan beroperasi selama 24 jam yang dibuka di Hotel Abraj Al-Janadriyah dan Land Premium dengan kaunter-kaunter aduan dibuka di semua maktab penginapan.
Beliau berkata, pusat khidmat itu meletakkan sasaran menyelesaikan aduan ringan dalam masa di bawah satu hari untuk aduan ringan dan antara dua atau tiga hari untuk aduan sederhana.
“Aduan berat melibatkan kes-kes kemalangan, kecurian, kebakaran dan sebagainya,” tambahnya sambil berkata tiada tempoh tertentu untuk menyelesaikan kes dalam kategori tersebut.
Ditanya mengenai aduan makanan tidak sedap, Ahmad Sohaimi berkata, sememangnya rasa makanan tidak dapat memenuhi cita rasa semua jemaah tetapi ramai juga yang memujinya.
“Bagaimanapun, kami ambil maklum mengenai aduan tersebut dan akan berusaha mengatasinya di masa depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











