JOHOR BAHRU 8 Julai – Masyarakat diminta untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar berkaitan kematian seorang wanita kelmarin yang menetap di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang sebagai berpunca akibat pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat suami mangsa, A. Bakar Abd. Rahman.
“Saya nasihatkan janganlah buat begini (sebar berita palsu), kerana ia akan menyusahkan masyarakat.
“Jangan lupa undang-undang tetap ada dan kita akan ambil tindakan terhadap berita-berita palsu seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Mes Pegawai Rendah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini sebentar tadi.
Semalam, A. Bakar yang merupakan suami kepada Marini Kasman membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 6.59 petang menafikan kematian isterinya disebabkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim. -UTUSAN ONLINE











