Harap Felda boleh kembali gemilang - Utusan Malaysia

Harap Felda boleh kembali gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SAYA teringat suatu ketika dahulu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau lebih dikenali sebagai Felda, adalah kebanggaan negara tercinta, Malaysia. Felda sebagai skim penempatan semula yang direka khas bagi membantu membasmi kemiskinan serta meningkatkan prospek ekonomi terutama bumiputera luar bandar telah menghasilkan kejayaan demi kejayaan.

Namun Felda yang begitu gah suatu masa dahulu kini menjadi semakin terhimpit. Justeru, apabila saya terbaca wawancara dengan Pengerusi Felda (2001-2010), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor bertajuk Beri Felda diurus pihak berkemampuan dalam Utusan Malaysia bertarikh 17 Jun lalu, saya terpanggil untuk menyokong sentimen yang diketengahkan oleh beliau.

Menurut Mohd. Yusof, apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dibentuk pada 2012 dengan melibatkan keseluruhan Felda, ia amat mengejutkan dan meskipun Felda sebagai pemegang saham terbesar FGV, mereka tidak diwakili dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahan pula, bayaran yang sepatutnya dibayar FGV menerusi dividen dan lain-lain kepada Felda adalah sangat kurang berbanding pendapatan Felda di bawah struktur lama.

Di bawah struktur lama melalui Felda dan Felda Holdings Berhad, Felda mendapat dividen setiap tahun secara purata RM1 bilion hingga RM1.5 bilion. Apabila ditubuhkan FGV, pulangan yang Felda dapat hanya sekitar RM200 juta hingga RM300 juta sedangkan mereka perlukan lebih RM1 bilion untuk kos operasi.

Mohd. Yusof menyarankan agar kedua-dua Felda dan FGV diharmonikan, di mana ada satu kaedah yang diterima bersama oleh kedua-dua syarikat tetapi harus diterjemahkan dengan tidak menjadikan peneroka sebagai mangsa.

Beliau turut menyentuh tentang pembentangan Kertas Putih Felda di Parlimen pada April lalu, walaupun sesuatu yang baik, ia tidak memperincikan masalah dihadapi secara mendalam.

Beliau tidak menolak cadangan agar kerajaan membawa pihak lain membantu Felda dan berpendapat pihak lain ini mestilah memahami budaya Felda serta bersimpati dengan peneroka. Malah Mohd. Yusof percaya jika formula yang dibawa oleh pihak lain ini dilaksanakan dengan baik, Felda boleh pulih semula.

Sebagai rakyat yang prihatin dengan peneroka Felda, saya amat bersetuju dengan pandangan yang diketengahkan oleh Mohd. Yusof. Pihak luar atau pelabur baharu ini hendaklah mempunyai pengalaman dalam industri perladangan dan mengamalkan penggunaan teknologi pintar pertanian agar dapat meningkatkan kecekapan serta pulangan.

Saya juga ingin mencadangkan agar diadakan kerjasama sektor awam-swasta di mana terdapat rakan kongsi strategik yang mempunyai kepakaran serta kebolehan untuk membantu pelan jangka panjang pemulihan Felda. Apa-apa resolusi yang dicadangkan mestilah memikirkan penyelesaian jangka panjang bagi pengurusan ladang serta hutang peneroka.

Akhir kata, saya berharap dapat melihat Felda kembali kepada zaman kegemilangannya.

YUSOUFF Z. MOHD. ZAMRI
Felda Palong 2, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini