Halep tamatkan badi separuh akhir - Utusan Malaysia

Halep tamatkan badi separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pilihan ketujuh kejohanan, Simona Halep akhir­nya berjaya menamatkan penantian selama lima tahun untuk kembali beraksi di pentas separuh akhir Kejohanan Tenis Wimbledon selepas menewaskan Zhang Shuai dari China 7-6 (7-4), 6-1 pada suku akhir kelmarin.

Kejayaan itu juga meneruskan impian Halep, 27, untuk bergelar juara Wimbledon buat kali pertama sejak memulakan karier sebagai pemain profesional 13 tahun lalu pada 2006.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan bintang Romania berkenaan berjaya membalas dendam terhadap Shuai, 30, selepas dimalukan pemain bukan pilihan berkenaan seba­nyak dua kali pada pu­singan pertama Terbuka Australia 2016 dan Terbuka China 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akui agak gementar dan tertekan sebelum perlawanan ini bermula kerana sememangnya saya jangkakan tentangan sengit daripada Shuai memandangkan dia pernah kalahkan saya dua kali sebelum ini.

“Saya sedar saya perlu bermain dengan prestasi 100 peratus untuk membalas setiap pukulannya dan cuba sedikit demi sedikit mematahkan rentak permainannya dalam perlawanan ini. Saya lega kerana ia berjalan mudah pada set kedua,” kata Halep.

Sementara itu, Shuai yang hampir bersara tiga tahun lalu, tetap berbangga dengan kejayaannya me­nem­patkan diri dalam kelompok lapan terbaik Wimbledon.

“Saya puas hati kerana berjaya ke suku akhir dan menentang bekas pemain No. 1 dunia. Saya tidak melakukan ba­nyak kesilapan dan sudah memberikan aksi yang terbaik tetapi dia berjaya mendapat rentak permai­nan sebenarnya,” jelasnya.

Kemenangan itu membolehkan Halep menempah pertemuan dengan pilihan kelapan, Elina Svitolina di separuh akhir hari ini selepas pemain dari Ukraine itu menewaskan pemain Republik Czech, Karolina Muchova 7-5, 6-4 kelmarin. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini