KUALA LUMPUR 6 Julai – Semua guru dinasihatkan lebih peka dan cepat menguasai kaedah pembelajaran baharu dengan menggunakan kemudahan yang disediakan tiga syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP).
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Jasni Md. Kechik berkata, langkah itu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas berjalan dengan lancar.
“Menerusi kaedah ini, aplikasi persekitaran pembelajaran virtual (VLE) akan digantikan dengan menggunakan Google Classroom sebagai pelantar pembelajaran alternatif menggantikan Frog VLE.
“Oleh yang demikian, semua guru diminta untuk bersifat terbuka dan cepat dalam menguasai sistem ini agar proses P&P dalam kelas tidak terganggu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perkhidmatan talian internet ke sekolah seluruh negara akan dibekalkan tiga syarikat ISP iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn. Bhd. mulai 1 Julai lalu bagi menggantikan 1Bestarinet yang tamat kontrak pada 30 Jun lalu selepas menyediakan talian internet dan aplikasi persekitaran pembelajaran virtual (VLE) kepada 10,211 sekolah sejak 2012.
Dalam pada itu, Jasni yang juga Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pendang berkata, pihaknya berharap tiga ISP berkenaan menyediakan perkhidmatan berkualiti dan memenuhi keperluan guru-guru di sekolah dalam melaksanakan proses P&P.
“KGMMB menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana bertindak cepat dengan melakukan pembaharuan khususnya dalam proses P&P menerusi internet yang dilihat akan memudahkan pelajar serta guru.
“Pun begitu, harapan KGMMB semua agar pemasangan talian tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur, cekap dan tepat serta memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan kerajaan,” ujarnya.











