APABILA tular isu ‘guru memukul murid’, ada pihak yang bersetuju atau sebaliknya. Kepekaan dan keprihatinan dalam kalangan guru pula dalam isu ini juga cukup hebat seperti satu program solidariti demi memperjuangkan golongan pendidik.
Walau bagaimanapun, saya berpendapat, guru juga dikehendaki menghadiri sesi kaunseling. Golongan pendidik ini memerlukan bimbingan walaupun sudah berkelayakan dan terlatih. Menghadiri sesi kaunseling tidak bermakna mereka dikategorikan terkena ‘penyakit mental’ walaupun erti sebenar penyakit mental hanyalah suatu gangguan yang merupakan kecacatan biologi. Dan kita semua harus memecahkan stigma yang menjatuhkan maruah, kecelaan, keaiban ini.
Terdapat banyak kesedaran mengenai isu ini, tetapi masih ada sesetengah orang yang berfikiran sempit.
Jika mengetahui rakan sekerja dilanda permasalahan ini, komen sinis sering kedengaran seperti “alahai, dia bukannya sakit pun, dia cuma mahu menarik perhatian sahaja”.
Kita mungkin pernah jumpa orang yang suka mencari perhatian, suka menonjolkan diri atau suka dikatakan hebat. Atau ayat mudahnya adalah mahu menarik perhatian bos di pejabat. Orang sebegini pada pandangan saya memang mempunyai ‘masalah mental’. Walau bagaimanapun, ramai yang mendakwa mereka mengambil berat tentang orang lain tetapi sebenarnya akan mengkritik mereka yang mengalami masalah mental.
Sesi pendidikan dan persekolahan adalah sukar. Malah, sosialisasi menjadi lebih sukar. Kebanyakan daripada kita akan berahsia sekiranya mengetahui diri dalam keadaan tertekan atau depresi. Orang yang paling ceria pernah anda kenali pun, jika mereka mempunyai masalah, tentunya tidak akan berkongsi ‘tekanan’ yang mereka hadapi.
Semua orang perlu sedar dan memberikan perhatian serta sokongan kerana kita tidak akan tahu masalah seseorang (terutama yang rapat dengan anda) kerana mereka menderita dalam diam. Anda harus meyakinkan mereka bahawa anda berada dan bersedia membantu mereka. Setiap orang memerlukan sokongan emosi dan perasaan walaupun anda seorang guru atau pendidik.
AZIZI AHMAD
Pendidik senior











