MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui akan berusaha keras untuk memastikan pemain sayapnya, Leroy Sane kekal di Etihad musim hadapan.
Bekas jurulatih Barcelona itu berkata, City merupakan pasukan yang berupaya untuk menggilap bakat pemain antarabangsa Jerman itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya mahu semua pemain gembira di sini dan sudah tentu kami enggan kehilangan Sane yang berpotensi untuk menjadi pemain sayap hebat. Saya percaya City adalah pasukan yang mampu mengembangkan bakat Sane pada tahap yang sepatutnya,” kata Guardiola.
Bayern Munich merupakan pasukan yang bercita-cita besar untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu selepas dia dikatakan tidak gembira di City ekoran kekurangan peluang beraksi dalam skuad utama.
Ketika ini skuad City termasuk Sane sedang beraksi pada perlawanan pramusim di Shanghai, China yang menyaksikan West Ham United menjadi pasukan pertama dibelasah 4-0 pada aksi Trofi Asia Liga Premier awal pagi semalam.
Skuad yang diberi jolokan The Citizens itu akan beraksi pada perlawanan menentang Wolverhampton pada aksi terakhir kejohanan tersebut esok.
Dalam pada itu, Guardiola berkata, dia masih belum mempunyai gambaran mengenai siapa yang layak menggalas tugas selaku ketua pasukan City musim hadapan.
“Kami akan memilih ketua pasukan baharu, namun perlu tunggu sehingga semua pemain ada bersama skuad. Pada pendapat saya adalah lebih baik para pemain sendiri yang memilih ketua pasukan mereka,” kata Giardiola. – Agensi











