LYON – Jaringan Alex Morgan pada hari lahirnya yang ke-30 membawa Amerika Syarikat (AS) mara ke final Piala Dunia Wanita buat kali ketiga berturut-turut selepas menundukkan England 2-1 sebentar tadi.
Aksi separuh akhir di Stadium Parc Olympique berlangsung penuh dramatik apabila gol kedua England dibatalkan kerana ofsaid, malah peluang mereka untuk menyamakan kedudukan menerusi penalti juga berakhir dengan kekecewaan.
Empat minit menuju penghujung permainan, England terus dirundung malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas bek tengah mereka, Millie Bright dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.
Turun sebagai juara bertahan dan pasukan No. 1 dunia, AS memenuhi reputasi besar itu apabila membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi tandukan Christen Press.
Press yang mengambil alih tempat pemain berpengalaman, Megan Rapinoe yang diketepikan akibat kecederaan membalas kepercayaan jurulatih apabila menanduk bola hantaran Kelley O’Hara.
England bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang Manchester City, Ellen White melakukan tolakan canti pada minit ke-19.
Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan, namun kapten AS, Morgan memastikan kemenangan pasukannya apabila menanduk hantaran cantik Lindsey Horan pada minit ke-31.
Pada minit ke-65, White menceriakan England buat seketika apabila meledak gol penyamaan, malangnya video bantuan pengadil (VAR) menafikan jaringan tersebut kerana pemain itu berada dalam posisi ofsaid.
Skuad Lionesses menerima satu lagi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78 selepas White dijatuhkan oleh pemain lawan, Becky Sauerbrunn.
Begitupun sepakan yang diambil Steph Houghton berjaya diselamatkan penjaga gol AS, Alyssa Naeher.
AS bukan sahaja muncul pasukan pertama berjaya ke final buat kali ketiga berturut-turut, malah mereka tidak pernah dikalahkan sejak kekalahan terakhir dalam final Piala Dunia 2011.
Morgan dan White juga kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak untuk anugerah Kasut Emas menerusi enam gol.
Juara Eropah, Belanda atau Sweden bakal menjadi halangan terakhir AS untuk memburu kejuaraan keempat. – AGENSI











