Geng Homestay curi pelbagai barangan di inap desa tumpas - Utusan Malaysia

Geng Homestay curi pelbagai barangan di inap desa tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sekumpulan penjenayah yang mencuri pelbagai barangan di inap desa dikenali Geng Homestay tumpas selepas polis menahan empat lelaki di sekitar Taman Cempaka minggu lalu. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 42 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat daripada orang awam.

“Polis menerima 19 laporan berkaitan kumpulan ini yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi di dalam bangunan di Ampang Baru, Kampung Rapat dan Tambun sekitar tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan menelefon tuan rumah dan membayar deposit sebelum melarikan pelbagai barangan termasuk perabot rumah dan peralatan elektrik selepas mendapat kunci rumah inap desa tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Ampang Baru di sini hari ini.

Tambah Mohd. Ali, suspek turut menggunakan dokumen palsu seperti lesen memandu orang lain bagi tujuan menyewa inap desa yang menjadi sasaran mereka.

“Susulan penangkapan semua suspek itu, polis Berjaya merampas 71 barangan yang dipercayai dicuri daripada rumah inap desa itu untuk dijual.

“Antara barangan tersebut termasuk peralatan elektrik seperti peti sejuk, televisyen, dapur elektrik, kipas siling, pembesar suara, kamera digital dan sebuah kereta jenis Proton Wiran dengan jumlah nilai dianggarkan RM40,000,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes dadah dan curi.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua mereka yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua suspek kini ditahan reman bermula 28 Jun lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ujarnya, polis menasihatkan pemilik inap desa agar mendapatkan dokumen yang sah daripada penyewa terlebih dahulu sebelum menyewakan premis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini