KUALA LUMPUR – Zhejiang Geely Holding Group (Geely) China, yang menguasai 49.9 peratus kepentingan dalam Proton Holdings Bhd., menjalin kerjasama strategik dengan Baidu Inc bagi memberi tumpuan kepada pemerkasaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Geely Li Shufu dan Pengerusi/Pengasas Baidu Robin Li bersama-sama mengumumkan mengenai kerjasama strategik kedua-dua syarikat itu dalam bidang perhubungan kecerdasan, mobiliti pintar, rumah pintar, e-dagang dan bidang lain berkaitan AI.
“Kedua-dua pihak akan bersama-sama meneroka pembangunan aplikasi AI dalam ekosistem, dengan sasaran jangka panjang untuk meningkatkan populariti kenderaan yang dipasang AI di China dan antarabangsa,” kata Geely dalam kenyataan hari ini.
Usaha sama itu diumumkan pada ‘2019 Baidu Create’, persidangan Pembangunan Baidu di Beijing, China pada Rabu.
Pada persidangan itu, Robin Li dan Li Shufu berinteraksi atas pentas dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) pintar terkini Geely Auto, Bo Yue PRO, model baharu yang dilengkapi sistem AI Baidu menerusi GKUI 19, versi terkini Ekosistem Pintar Geely.
Bo Yue PRO meupakan kenderaan Geely paling cangih setakat ini dan termidah mudah alih bersepadu yang berkesan yang berkeupayaan untuk menghubungkan orang, kereta dan kediaman.
Geely Auto akan mula melaksanakan sistem GKUI 19 yang dilengkapi AI Baidu dalam portfolionya apabila tiba masanya.
“Kerjasama strategik antara Baidu dan Geely bukan sahaja akan memperkenal interaksi manusia-kereta yang mudah dan semula jadi, malah akan meningkatkan tahap kecerdasan dalam industri automobil dan perkhidmatan mobiliti, membantu industri Automotif China menjadi peneraju dalam era mobiliti pintar,” kata Robin Li, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Baidu.
Baidu ialah peneraju dalam industri AI di China, dan perintis dalam mempromosi kecerdasan industri dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan AI terkemuka di dunia, dan visi teknikal yang mendalam dalam bidang pemanduan pintar.
“Teknologi kenderaan pintar di China kini berada di barisan hadapan dunia, menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan mudah untuk pengguna.
Menerusi kerjasama strategik dan sumber, kedua-dua pihak komited untuk bersama-sama membangunkan ekosfera mobiliti pintar untuk memimpin masa depan, dan mencipta pengalaman baharu untuk pengguna,” kata Li Shufu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Geely Holding telah mengambil inisiatif untuk mempercepat pemodenan industri automotif dengan meningkatkan kapasiti pembangunan digitalnya.
Matlamat utama adalah untuk beralih daripada menjadi pembuat kereta tradisional kepada pembekal perkhidmatan mobiliti. Geely melancarkan GKUI pada 2018, yang telah berkembang pesat dan kini mempunyai lebih satu juta pengguna aktif, termasuk di Malaysia. -BERNAMA











