Gagal mencarum dengan Perkeso - Utusan Malaysia

Gagal mencarum dengan Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 2 Julai – Lebih 1,400 daripada 1,976 pemandu teksi di negeri ini masih belum membuat caruman di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang ditawarkan Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso negeri, M. Nallusamy berkata, mereka yang gagal mendaftar akan berdepan tindakan kompaun dan pendakwaan yang bakal mula dikuatkuasakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) mulai 1 Julai lalu.

Katanya, sehingga 28 Jun lalu hanya 503 pemandu teksi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mencarum bagi membolehkan mereka menerima faedah perlindungan bagi kemalangan, rawatan perubatan dan penyakit semasa bekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkeso membuka kaunter di hentian Terminal One bagi memudahkan pemandu teksi, pemandu bas persendirian dan perkhidmatan e-hailing untuk mendaftar di bawah skim itu.

“Kadar caruman adalah mengikut anggaran pendapatan bulanan seseorang dengan kadar paling rendah sebanyak RM157.20 sehingga RM592.80 setahun atau RM13.10 sehingga RM49.40 sebulan.

“Masih ramai pemandu teksi kurang kesedaran untuk mendaftar sedangkan skim itu adalah untuk kebaikan mereka dan keluarga jika berlaku kemalangan atau musibah,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Menurut Nallusamy, walaupun penguatkuasaan dilaksanakan mulai 1 Julai tetapi pemandu teksi masih boleh mendaftar selepas tarikh tersebut.

Beliau memberitahu, pihak-nya juga akan terus membuka kaunter untuk pendaftaran dan pembayaran caruman di Terminal One kerana ia merupakan tumpuan pemandu kenderaan awam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kempen kesedaran membuat caruman tersebut dalam kalangan pemandu bas sekolah persendirian dalam Ops Sedar di 42 buah sekolah di sini baru-baru ini.

“Sehingga kini terdapat 34 pemandu bas sekolah telah berdaftar dan mencarum dengan Perkeso negeri. Dalam operasi itu kita menyasarkan sekolah-sekolah di daerah ini terlebih dahulu dan akan disusuli de­ngan sekolah di daerah lain pada masa akan datang.

“Sebelum ini skim ini hanya dikuatkuasakan kepada pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing namun telah diperluaskan kepada pemandu bas persendirian pada 1 Februari lalu,” jelasnya.

Sementara itu beberapa pemandu teksi yang ditemui memberi pelbagai pandangan me­ngenai jumlah pemandu teksi yang masih rendah mendaftar dengan skim berkenaan dan kemungkinan dikenakan kompaun sehingga RM4,000 akibat kesalahan itu.

Seorang pemandu teksi, K. Saravanakumar, 48, mengakui belum mendaftar kerana tidak mengetahui secara terperinci skim tersebut dan manfaat yang akan diperolehnya.

“Semasa pegawai Perkeso datang ke Terminal One, saya keluar menghantar penum­pang. Saya tidak tahu perkara itu walaupun ada rakan-rakan memaklumkan saya mengenainya.

“Saya akan mendaftar tetapi minta Perkeso beri sedikit masa lagi kepada pemandu-pemandu teksi yang masih belum berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi pemandu yang hanya ingin dikenali sebagai Mat pula meminta Perkeso menambah baik faedah yang akan diterima pemandu dan tidak hanya terhad kepada kematian dan kemalangan semasa bekerja.

“Kalau boleh cari kaedah untuk kami diberi perlindungan insurans bagi kemalangan dan musibah di luar waktu bekerja, selain diberi bayaran cuti sakit bagi penyakit-penyakit lain dan bukan semata-mata sakit akibat kemalangan.

“Boleh dikatakan semua pemandu teksi telah lanjut usia, mereka harap Perkeso boleh sediakan perlindungan insu-rans lebih baik dan merangkumi semua aspek. Tak mengapalah bayar lebih sedikit asalkan berbaloi,” katanya.

Beliau percaya ramai pemandu teksi tidak mendaftar kerana menyifatkan perlindu­ngan yang diberikan tidak memadai, lebih-lebih lagi sumber pendapatan mereka terjejas teruk akibat persaingan dengan perkhidmatan e-hailing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini