KUALA LUMPUR – Petinju profesional negara, Farkhan Haron meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 15 terbaik dunia menjelang tahun depan, sekali gus melayakkan diri bersaing pada kejuaraan dunia.
Farkhan yang baru sahaja memenangi tali pinggang Persatuan Tinju Dunia (WBA) Selatan Asia kategori cruiserweight di Pattaya, Thailand, dua hari lepas (30 Jun), kini berada di ranking 30 petinju terbaik dunia.
Petinju kelahiran Tampoi, Johor Bahru itu menewaskan lawannya Alexander Bajawa dari Indonesia dengan pukulan ‘knockout’ di pusingan ketiga saingan itu.
“Saya ingin berada dalam ranking 15 terbaik dunia untuk melayakkan saya merebut tali pinggang kejuaraan dunia. Setelah memenangi 10 perlawanan secara profesional sebelum ini, saya dan pasukan bersedia untuk ke peringkat seterusnya.
“Bagi memastikan impian ini tercapai, saya kena fokus kepada kejohanan di peringkat antarabangsa dan antara benua.
“Jadi untuk pertarungan akan datang, saya akan lebih fokus dari segi taktikal dan teknikal kerana ia menjadi faktor utama untuk menaikkan ranking sebagai petinju profesional,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Selepas kejayaan baru-baru ini, Farkhan berkata beliau akan memberi tumpuan kepada persediaan untuk menghadapi Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar Johor Bahru pada Ogos ini, serta mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC), November depan.
Petinju berusia 31 tahun itu, berkata pada JIBC beliau perlu berdepan saingan sengit daripada barisan peninju dari benua Afrika bagi mempertahankan dua tali pinggang – Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori light heavyweight, dan WBA Selatan Asia kategori cruiserweight. – BERNAMA











