Faizal Ismail berhabis RM500,000 sambung belajar ke UK - Utusan Malaysia

Faizal Ismail berhabis RM500,000 sambung belajar ke UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai – Demi mengejar cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di United Kingdom (UK), Faizal Ismail atau FBI sanggup mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM500,000 sebelum ke sana September ini.

Menurut pengacara dan bekas penyampai radio ini, kos tersebut mengambil kira bayaran yuran pengajian Industri Kreatif dan Budaya di Universiti Cardiff, penginapan dan keperluan harian semua anggota keluarganya yang turut berpindah sama.

“Perancangan untuk menyambung belajar ke UK ini sudah pun dirancang sebaik mungkin sejak tiga tahun lalu. Saya menabung dan merancang kewangan sebaik mungkin kerana bajet ini turut melibatkan keperluan lima orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kelihatan jumlah RM500,000 itu besar tapi sebenarnya ia turut membabitkan sejumlah wang untuk kontigensi. Mana tahu ada apa-apa yang terjadi memandangkan kami berada jauh dari tanah air,” katanya kepada Utusan Online.

Dalam merealisasikan impian besarnya itu, lelaki ini tidak kisah untuk berbelanja besar asalkan isteri, Nor Azlina Ahmad Din serta anak-anak, Nur Khairina Iman, 17, Muhammad Khalish Iman, 8, Khayla Nur Iman, 6, dan Qalisya, 2, berada di depan matanya.

Kata Faizal, mereka adalah sumber kekuatan dan matlamat hidupnya selama ini.

Masakan dia mampu belajar dengan tenang sedangkan hatinya tidak keruan dek menanggung kerinduan berjauhan dengan mereka.

“Ini tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Dalam apa-apa jua ketika, isteri dan anak-anak tidak akan diabaikan sampai bila-bila. Mereka adalah sumber kekuatan saya yang sebenarnya,” ujarnya lagi.

Faizal berkata demikian sempena majlis sambutan setahun siaran langsung dBilique yang diusahakan bersama Fara Fauzana.

Bekas penyampai radio, Kartini Ariffin turut terlibat dalam projek berkenaan dan bertindak dalam bahagian strategi dan pengurusan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini