Enjin kereta anggota tentera terbakar - Utusan Malaysia

Enjin kereta anggota tentera terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 18 Julai – Seorang anggota tentera berusia 28 tahun berdepan detik cemas apabila enjin keretanya terbakar di Kilometer 274.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, Lans Koperal Mohd. Firdaus Jamaludin sedang memandu kereta jenis Proton Satria GTI dari arah Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka menuju ke Setiawangsa, Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy, anggota tentera itu singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban untuk mengisi minyak dan ketika itu mendapati enjin keretanya agak panas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun dia meneruskan perjalanan dan selepas kira-kira lima minit, asap keluar dari corong pendingin hawa keretanya sebelum terdapat percikan api dari bonet kenderaan itu.

“Anggota tentera itu menghentikan kenderaannya di bahu jalan dan menyelamatkan diri sebelum menghubungi talian kecemasan 999,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Syazwan, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat insiden itu pada pukul 2.24 pagi.

Katanya, pasukan bomba tiba kira-kira 21 minit kemudian dan mengambil masa kurang lima minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran.

Beliau berkata, enjin kereta itu dianggarkan terbakar sebanyak 90 peratus dan nilai kerugian masih dalam siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini