PUTRAJAYA 10 Julai – Seramai enam peserta seni persembahan akan mewakili negara pada Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) 2019 di California, Amerika Syarikat, Jumaat ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, mereka akan berentap dengan peserta dari 72 buah negara merangkumi penyanyi, penari, pelakon, ahli muzik dan model.
“Saya dimaklumkan peserta mewakili negara tahun ini terdiri daripada anak muda berumur lingkungan 13 hingga 21 tahun dan sudah semestinya ia satu cabaran berat dipikul mereka.
“Saya yakin dan percaya mereka mampu mengharumkan nama negara dan membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke WCOPA 2019, di sini hari ini.
Peserta yang mewakili negara dalam acara nyanyian adalah Melissa Anne Leo Jude, 21; Daphne Emerald, 13; Eylia Eyre Guntabid, 17 dan Tengku Nur Fazlin Irana Tengku Zainul Hisham, 16, manakala acara tarian diwakili Timothy Leong Yew Jo, 19 dan Dhestiansia Narendra Rageswara, 12.
Mohamaddin berkata, Malaysia telah menyertai pertandingan tersebut sebanyak 14 kali sejak 2005 dan setiap penyertaan, wakil negara berjaya membawa pulang pingat dan anugerah.
“Walaupun tiada bantuan dana dari kerajaan, peserta bersemangat membawa nama negara ke kejohanan dunia dan inisiatif ini perlu disanjungi.
“Justeru saya ucapkan terima kasih kepada kerjasama dan bantuan mereka dalam mempromosikan nama negara sekali gus menjadi contoh kepada orang lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE.











