KUALA LUMPUR – E.A. Technique (M) Berhad merancang melaksanakan proses penyelesaian hutang kepada pemegang saham utamanya, Sindora Berhad berjumlah RM57.16 juta menerusi terbitan 121.62 juta saham baharu pada 47 sen sesaham dalam syarikat.
E.A. Technique dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, terbitan saham itu mungkin menyebabkan tebaran pemegangan saham awam syarikat itu berkurangan daripada 25 peratus.
Katanya, syarikat turut merancang tawaran saham persendirian sehingga 106.36 juta saham baharu mewakili kira-kira 17 peratus jumlah terbitan saham diperbesar.
“Sejumlah 19.15 juta penempatan saham persendirian itu akan diperuntukkan kepada Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Abdul Hak Md. Amin, 25.53 juta saham penempatan kepada Sindora manakala bakinya sebanyak 61.68 juta saham kepada pelabur bebas pihak ketiga yang akan ditentukan pada tarikh lain,” katanya di sini hari ini.
Tambah syarikat itu, pihaknya merancang menerbitkan sehingga 365.98 juta waran percuma pada asas satu waran kepada dua saham sedia ada yang dipegang sehingga tarikh hak yang akan ditentukan kemudian.
“Berdasarkan harga pelaksanaan sebanyak 55 sen, cadangan terbitan waran percuma itu dijangka meningkatkan keuntungan kasar sebanyak RM201.3 juta dengan andaian proses waran berkenaan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya. – BERNAMA











