KUALA LUMPUR 10 Julai – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mempercepatkan pengeluaran pinjaman kepada syarikat SRC International Sdn. Bhd. lebih awal biarpun surat jaminan kerajaan belum dikeluarkan.
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, berkata, arahan tersebut dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itu melalui satu panggilan telefon kepadanya.
Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi KWAP dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini tidak dapat mengingati tarikh panggilan tersebut diterima.
“Saya telah menerima panggilan dari Datuk Seri Najib supaya Kementerian Kewangan keluarkan surat kepada KWAP supaya KWAP dapat keluarkan lebih awal pinjaman yang dipohon dan akan disusuli dengan surat jaminan kerajaan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim dalam perbicaraan hari ke-35 kes SRC International melibatkan Najib hari ini
Saksi pendakwaan ke-45 itu berkata, pengeluaran pinjaman sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan itu merupakan amalan luar biasa.
Diminta menjelaskan mengapa ia tetap dilakukan, Wan Abdul Aziz berkata, ia berikutan kerajaan menjadi penjamin kepada pinjaman tersebut, malah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Ia cuma menunggu proses pengeluaran surat jaminan kerajaan,” katanya.
Saksi turut ditanya sama ada bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad mengetahui tentang panggilan telefon dari Najib itu.
Beliau memaklumkan telah memberitahu Maliami bahawa Najib telah mengarahkan Kementerian Kewangan mengeluarkan surat bagi tujuan pengeluaran wang itu.
“Malah saya minta Maliami keluarkan surat pada hari sama panggilan dibuat,” katanya.
Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali diteruskan dengan mendengar keterangan saksi sama untuk sesi pemeriksaan balas. – UTUSAN ONLINE











